Isnin, 25 November 2019 | 7:23pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA

Syed Saddiq sedia letak jawatan jika berlaku penyelewengan

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini panas dengan isu tender membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sehinggakan Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, lantang menyuarakan dirinya orang pertama akan meletak jawatan jika terbukti wujud penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung pemberian tender berkenaan.

Projek berkenaan membabitkan pemberian kontrak pembekalan makanan bernilai RM7 juta kepada sebuah syarikat di Institut Belia Negara (IKBN) di tiga negeri iaitu Melaka, Selangor dan Perlis.

Suasana kecoh apabila Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bangun mencelah ketika Syed Saddiq membuat penggulungan Perbekalan 2020 peringkat Jawatankuasa membabitkan kementeriannya pada sidang sesi petang.

Mohd Shahar bertanya Syed Saddiq, sama ada beliau sanggup meletak jawatan jika terbukti berlaku salah guna kuasa membabitkan kontrak berkenaan.

Peringkat awal, Syed Saddiq mengulangi pendiriannya sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, namun terus `diasak’, sama ada mahu meletak jawatan jika terbukti berlaku penyelewengan.

Desakan itu menyebabkan beliau mengangkat tangan kanannya dan bersumpah: “Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Allah sebagai bukti kalau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis membuktikan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan, saya orang pertama meletak jawatan.”

Syed Saddiq berkata, beliau tidak takut berdepan dengan siasatan pihak berkuasa terbabit, malah sudah mengarahkan pegawainya membuat laporan kepada SPRM.

Katanya, ketika pentadbiran kerajaan terdahulu berlaku banyak penyelewengan sehinggakan ada projek diluluskan oleh UMNO peringkat bahagian.

“Zaman rundingan terus sudah berakhir dan kini pemberian projek mengikut tender kerana kita tidak mahu duit rakyat dibazir dan diselewengkan,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian mencabar Mohd Shahar dan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Paya Besar) yang bertubi-tubi menyerang Syed Saddiq meletak jawatan jika menteri berkenaan terbukti tidak bersalah dalam kes berkenaan.

Mohd Shahar berulang kali meminta penjelasan menteri berhubung kes berkenaan walaupun Syed Saddiq konsisten dengan jawapan kementeriannya menyerahkan kepada SPRM dan polis untuk membuat siasatan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berulang kali mengingatkan Ahli Dewan Rakyat supaya menghormati penggulungan menteri dan tidak mengganggunya, namun Ahli Parlimen Jelebu dan Paya Besar terus mengasak Syed Saddiq.

Sebelum itu, Jalaluddin mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa kontrak bernilai RM7 juta diberikan kepada sebuah syarikat membabitkan tiga IKBN berkenaan.

Beliau juga menyebut nama syarikat yang dikatakan diberi kontrak bernilai RM7 juta.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X