Isnin, 25 November 2019 | 8:07pm
KAWASAN penanaman ketum di Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam

Hanya pegawai berkanun boleh tanam ketum dengan kebenaran Menteri Kesihatan

KUALA LUMPUR: Penanaman ketum dibenarkan ditanam bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan, namun tertakluk kepada terma dan syarat serta surat kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan RUU yang butirannya diberikan Kementerian Kesihatan, Menteri Kesihatan diperuntukkan kuasa untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai badan berkanun menanam tumbuhan terbabit.

Ini bermakna, orang awam tidak lagi dibenarkan menanam tumbuhan psikoaktif itu dan boleh didenda maksimum RM200,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika RUU terbabit diluluskan kelak.

Jika diluluskan, nama Akta 366 selepas pindaan adalah Akta Racun dan Tumbuhan Psikoaktif 1952.

Pindaan itu antaranya bagi mewujudkan kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif terbabit merangkumi penanaman, pengimportan, pengeksportan, penyebatian, pencampuran, penjualan, pembekalan, pemilikan dan penggunaan tumbuhan berkenaan.

Tujuan pindaan itu juga adalah untuk memperluaskan skop Akta Racun 1952 (Akta 366) merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif, memperkemaskan kawalan ke atas aktiviti racun dan bahan psikoaktif serta mengemas kini Akta 366 supaya selaras dengan keperluan semasa.

Malah, RUU berkenaan menyediakan peruntukan baharu memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau Pegawai Penguat Kuasa Farmasi yang dilantiknya, dengan izin pendakwa raya, boleh mengeluarkan kompaun atas kesalahan berkaitan racun dan tumbuhan psikoaktif.

Pegawai pelesenan, pegawai diberi kuasa, ahli Lembaga Racun atau mana-mana orang yang bertindak atas arahan ketika menjalankan tugas turut diberi perlindungan mengikut Seksyen 34A akta itu.

Kementerian juga diberi kuasa menetapkan prosedur mengeluarkan kompaun menerusi satu peraturan dan jumlah kompaun pula tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum bagi kesalahan berkaitan.

Selain itu, pindaan turut mengandungi peruntukan baharu kawalan tumbuhan psikoaktif, fleksibiliti pembekalan dan penjualan racun, penjagaan hak pengguna atau pesakit mendapatkan ubat serta peningkatan penalti.

RUU itu turut mencadangkan peningkatan penalti bagi kesalahan atau kecuaian hingga membahayakan nyawa manusia, iaitu denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Dari aspek keperluan kawalan ketum, penyalahgunaan ketum menjadi satu masalah kepada negara terutama di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Penyalahgunaan ketum boleh mengakibatkan kesan buruk seperti hilang kawalan diri, kurang sensitif terhadap kesakitan fizikal dan emosi serta penggunaannya secara berpanjangan boleh mengakibatkan kesan penagihan seperti penagihan dadah opioid seperti morfin, justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memerlukan satu mekanisme kawalan untuk menangani masalah ini.

Penyelidikan ke atas potensi daun ketum juga mempunyai kekangan kerana tiada peruntukan yang jelas berhubung rangkaian pembekalan ketum daripada sumber yang sahih.

Dari segi kawalan sedia ada, mitragynine iaitu alkaloid dalam daum ketum telah dikawal sebagai racun dan bahan psikotropik di bawah Akta 366 sejak 2003.

Kawalan ke atas mitragynine meliputi perbuatan import, eksport, mengilang, menyebati, mencampur, mendispens, menjual, membekal, memberi, memiliki atau mengguna. Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun Akta 366 memperuntukkan kawalan ke atas mitragynine, ia tidak merangkumi kawalan ke atas pokok ketum.

Dalam pada itu, RUU sama membabitkan pindaan berkaitan menjaga hak pengguna dan pesakit dalam mendapatkan ubat, iaitu mewajibkan pengamal berdaftar mengeluarkan preskripsi sekiranya diminta pesakit bagi membolehkan pesakit membuat pilihan dan mendapatkan bekalan ubat untuk rawatannya.

Ia juga memperuntukkan kesalahan berkaitan pembelian racun daripada pemborong yang bukan pemborong berlesen bagi melindungi pengguna daripada risiko mendapat ubat yang diragui puncanya.

BH dalam laporan eksklusifnya sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya empat daerah di Kedah dikesan menjadi kawasan penanaman ketum yang dipercayai terbesar di negara ini dengan keluasan mencecah lebih 100 hektar.

Kawasan penanaman di Padang Terap, Kubang Pasu, Yan dan Sik berkenaan dianggarkan mampu mengeluarkan sehingga 180 tan daun ketum dengan nilai pasaran mencecah RM3 juta bagi setiap kali tuaian.

Berita Harian X