Isnin, 25 November 2019 | 9:48pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Sesi Dialog di Sidang Kemuncak CEO 2019 sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia mahu manfaat revolusi industri baharu

BUSAN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebahagian daripada revolusi industri baharu.

Untuk menzahirkannya, lebih ramai golongan sasar, terutama generasi muda perlu dididik serta dibentuk ‘menerusi kaedah, strategi dan teknologi baharu’.

Perdana Menteri berkata demikian pada dialog Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Republik Korea (ROK) di sini, hari ini.

“Ketika ini, memang kami ketinggalan, tetapi kami mahu bersaing untuk setara dengan negara lain.

“Kami ingin menjadi negara yang boleh menggunakan dan memanfaatkan teknologi moden,” katanya pada majlis dihadiri sebahagian besar CEO mewakili syarikat di Korea Selatan.

“Sudah tentu Malaysia perlu mendapatkan teknologi baharu. Jika terus ketinggalan, mustahil kami dapat mengejar,” katanya.

Sesi dialog bersama Dr Mahathir dikendalikan oleh Yoon Sung Woon daripada firma rundingan pengurusan, Bain and Company.

Rakan kongsi tempatan firma itu menumpukan soalannya terhadap perubahan dasar yang dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), di samping pelan transformasi Malaysia.

Berdasarkan Indeks Inovasi Tahun Bloomberg 2019, Korea Selatan dinamakan sebagai ekonomi paling inovatif dan Malaysia berhasrat mendapat manfaat daripada pengalamannya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia kekal bersikap mesra pelabur, manakala beberapa dasar lama berkaitan pelaburan dan perdagangan masih relevan hingga kini.

“Kami adalah kerajaan baharu yang diterajui pemimpin lama,” katanya sambil disambut gelak tawa hadirin yang memenuhi dewan.

Apa yang berbeza, tegas Perdana Menteri, adalah ketegasan kerajaan menentang rasuah dan percanggahan dari segi pengurusan kewangan.

“Tidak banyak yang berubah dari sudut pelabur asing. Kami kekal mesra pelabur,” katanya.

Sesi dialog CEO anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Korea itu, diadakan sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK selama dua hari bermula hari ini.

Perdana Menteri kemudian melawat Pavilion Malaysia pada Pameran Pelaburan ASEAN di Pusat Konvensyen dan Pameran Busan yang turut menjadi lokasi sidang kemuncak berkenaan.

Antara yang memberi penerangan kepada Dr Mahathir ialah peserta Malaysia, Usaha Strategik Sdn Bhd (USSB), yang menghasilkan penabur biomas diperbuat daripada tandan kosong buah kelapa sawit.

Pengarah Eksekutif USSB, Za’im Hadi Meskam, berkata Perdana Menteri berminat mengetahui bagaimana syarikat tempatan berupaya menghasilkan produk itu.

Awalnya, USSB bekerjasama dengan sebuah syarikat Jerman bagi mempelajari teknologi menghasilkan penabur tenaga daripada sisa biologi, tetapi kemudian beralih kepada rakan kongsi teknologi dari China.

“Kira-kira 60 peratus teknologi dibangunkan dalam negara dan produk kami kini digunakan oleh syarikat mengendalikan dandang perindustrian di Johor,” katanya.

Berita Harian X