Selasa, 26 November 2019 | 2:08pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In dan pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK di Pusat Konvensyen dan Pameran Busan (BEXCO) di Busan, hari ini. - Foto BERNAMA

Selaras dasar tingkat hubungan Korea Selatan-ASEAN - PM

BUSAN, Korea: Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keyakinan terhadap hasrat Korea Selatan untuk memperkukuhkan hubungan dengan ASEAN, namun menegaskan usaha mesti ditingkatkan dari segi penyelarasan dasar.

“Kita berbesar hati dengan Dasar Selatan Baharu Republik Korea (ROK), yang meningkatkan hubungan strategik bersama ASEAN.

“Justeru, adalah penting untuk semua pihak mencari sinergi yang boleh menghubungkan dasar kita,” kata Perdana Menteri dalam sesi pleno ke arah meningkatkan kesalinghubungan pada hari terakhir Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK di Pusat Konvensyen dan Pameran Busan (BEXCO) di sini, hari ini.

Dr Mahathir turut menghadiri sesi pleno mengenai niaga pemula (startups) sebelum mengakhiri sidang kemuncak dengan majlis makan tengah hari pemukiman di Nurimaru APEC House, dekat sini.

Perdana Menteri berkata, kesalinghubungan lebih akrab antara ASEAN dan Korea Selatan amat penting untuk memastikan kedua-dua pihak saling mendapat manfaat.

Ia juga akan membantu perniagaan, melepasi fasa tradisi pembangunan teknologi dan merebut peluang tersedia menerusi ekonomi baharu.

Pada sidang pleno yang turut dihadiri Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In dan pemimpin ASEAN, Dr Mahathir menegaskan, rantau yang didiami lebih 600 juta penduduk itu menawarkan pelbagai peluang keemasan selain kaya dengan sumber hasil.

“Bagaimanapun, ASEAN belum mengecapi sepenuhnya nikmat dimiliki wilayah itu. Ia berikutan kekangan dari segi kurangnya infrastruktur maju, berkesan dan mapan.

“ASEAN meletak harapan kepada ROK yang memiliki kepakaran dalam bidang pembinaan infrastruktur, peluasan ekonomi, pembangunan bandar raya pintar dan inovasi ke arah meningkatkan rangkaian kesalinghubungan ASEAN dengan ekonominya,” katanya.

Menyentuh mengenai Malaysia, Dr Mahathir berpuas hati dengan kemajuan projek pembangunan bandar pintar yang dibangunkan bersama Korea Selatan di Kota Kinabalu, membabitkan pengurusan air pintar dan pembangunan perbandaran pintar baharu.

“Dalam kita memperkukuh dan mempromosi hubungan sesama sendiri, aspek yang penting diberi perhatian ialah rangkaian penerbangan lebih baik serta kesalinghubungan antara ASEAN dan ROK.

“Kami mengharapkan rumusan awal berkaitan perjanjian rangkaian udara yang lebih liberal dan saling memanfaatkan antara ASEAN dan ROK yang berupaya meningkatkan kesalinghubungan rakyat,” katanya.

Ia adalah kali ketiga Korea Selatan menjadi tuan rumah sidang kemuncak dua hari itu, yang turut dihadiri Presiden Moon dan ketua kerajaan ASEAN sebagai memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog kedua-dua pihak.

Pentadbiran Moon memperbaharui fokus terhadap rantau ASEAN menerusi Dasar Selatan Baharu yang berkait rapat dengan kerancakan perdagangan bersama wilayah itu.

ASEAN kini adalah rakan dagang kedua terbesar Korea Selatan selepas China.

Berita Harian X