Selasa, 26 November 2019 | 9:34pm

Korea Selatan, Malaysia perluas kerjasama PKS

BUSAN, Korea: Korea Selatan bersetuju memperluaskan kerjasama dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan Malaysia.

Permintaan itu disuarakan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kerajaan Korea dan mereka bersetuju membantu ke arah meningkatkan kerjasama.

“Mereka turut berminat membantu syarikat kecil di negara kita,” katanya kepada media Malaysia di akhir Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) yang berlangsung dua hari di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia akan mengenal pasti PKS dari Korea Selatan yang memiliki teknologi bersesuaian dan boleh bekerjasama dengan syarikat tempatan.

“Sebagai contoh dalam sektor pertanian. Korea mempunyai teknologi yang membolehkan anda mendapat keuntungan walaupun hanya menguruskan seekar tanah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menyaksikan teknologi Korea yang membolehkan strawberi ditanam dalam ruang tertutup.

“Strawberi berkenaan ditanam tanpa sinar matahari dan hanya menggunakan cahaya buatan, namun rasanya amat manis,” katanya sambil menambah kerajaan perlu menghantar rakyat Malaysia mempelajari teknologi itu dari Korea Selatan.

LANGKAWI, 19 Jan -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar penerangan daripada Menteri Air,Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar (tiga,kiri) ketika mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di sini hari ini.Projek Pembentungan di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah menggunakan teknologi Advanced Moving Bed Bio-Reactor (AMBBR).--fotoBERNAMA (2020) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Kita juga mempunyai teknologi sendiri seperti tanaman dalam ruang tertutup dan disirami dengan semburan kabut,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menempatkan tanaman di kediamannya yang disirami mekanisme semburan kabut kawalan masa.

“Ini bermakna kita mempunyai teknologi dan tidak terlalu ketinggalan,” katanya.

Perdana Menteri tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap kemajuan teknologi Korea Selatan.

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap pencapaian negara itu dalam teknologi aeroangkasa dan kereta api.

“Teknologi mereka amat maju dan digunakan untuk meningkatkan kehidupan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sidang kemuncak kali ketiga anjuran Korea Selatan sejak 2009 itu, amat berguna buat Malaysia.

“Kita melihat banyak peluang untuk bekerjasama dengan Korea dan syarikatnya,” katanya.

Korea Selatan berperanan secara signifikan terhadap pembangunan Malaysia menerusi Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Malaysia pada 1982.

Menerusi Dasar Pandang Ke Timur 2.0 (LEP 2.0), Malaysia berhasrat mempelajari kekuatan Korea Selatan dalam bidang teknologi maju dan inovasi termasuk industri baharu, kecerdasan buatan, ekonomi digital, robotik dan pembuatan pintar serta industri aeroangkasa.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual berlepas ke Seoul esok bagi lawatan rasmi dua hari.

Ia adalah lawatan rasmi pertamanya sejak menjadi Perdana Menteri ketujuh.

TUN Dr Mahathir Mohamad (kiri) ketika Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) yang berlangsung dua hari di BUSAN, Korea. - Foto BERNAMA
Berita Harian X