Rabu, 27 November 2019 | 12:00am
MAHFUZ Omar.

60 peratus pekerjaan berteras TVET

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan 60 peratus daripada pekerjaan yang akan diwujudkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) adalah berteraskan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

Ia bagi meningkatkan asal modal insan mahir, selain terdapat hubungan rapat antara kadar pelajar TVET di peringkat pasca menengah dengan pendapatan per kapita negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata adalah penting bagi semua pihak berkepentingan mewujudkan sikap positif dan persekitaran mesra dasar TVET kebangsaan, selain penyediaan dana mencukupi.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mendapat sokongan pemain industri bagi mengukuhkan program dwi-latihan dan menukarkan penyertaan industri kepada perkongsian, sebelum ke arah TVET diterajui industri.

"TVET adalah pelaburan dan bukannya pembaziran. Pulangan yang signifikan, termasuk meningkatkan kebajikan bakal tenaga kerja tempatan, lepasan sekolah dan graduan dilengkapi peningkatan produktiviti serta daya saing peringkat antarabangsa dalam jangka panjang.

"Kita juga komited untuk menyokong inisiatif pembangunan bakat strategik yang memberi tumpuan kepada TVET, seterusnya membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Acara Pembukaan Persidangan dan Pameran Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 29,613 majikan direkodkan sudah berdaftar dengan HRDF, manakala 2.41 juta daripada anggaran 2.6 juta pekerja sudah menerima manfaat daripada tabung itu, setakat ini.

"Semua kakitangan juga disarankan mendaftar di bawah HRDF bagi meningkatkan kesedaran tentang peralihan Revolusi Perindustrian (IR 4.0).

"Ia bagi mengasah kemahiran mereka dalam bidang robot autonomi dan simulasi, sistem integrasi, perkara internet, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan tambahan, realiti bertambah serta data besar," katanya.

Berita Harian X