Rabu, 27 November 2019 | 10:04am

1MDB, MKD boleh cabar IPIC, Aabar di England

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan Award Persetujuan terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) di Mahkamah Rayuan di London.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mahkamah Rayuan itu sudah meminda keputusan Mahkamah Tinggi England yang menghentikan permohonan oleh 1MDB dan MKD untuk mengetepikan Award Persetujuan yang dikemukakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap entiti Emiriah Arab Bersatu (UAE) sementara menunggu prosiding timbang tara yang dimulakan oleh IPIC dan Aabar PJS di London.

Oleh itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan timbang tara untuk memulakan mana-mana prosiding mahkamah.

Menurut kenyataan itu, berikutan keputusan hari ini, permohonan 1MDB dan MKD untuk mengetepikan Award Persetujuan, kini boleh diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi di London.

Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Canselor Sir Geoffrey Vos, Lord Justice Newey dan Lord Justice Males juga memerintahkan prosiding timbang tara selari yang dimulakan oleh kedua-dua pihak untuk dihalang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, jika Malaysia berjaya, negara akan, sebagai tambahan kepada hak-hak lain, dapat meneruskan usaha mendapatkan US$3.5 bilion yang dibayar oleh dana 1MDB kepada syarikat subsidiari IPIC. – BERNAMA

Berita Harian X