Rabu, 27 November 2019 | 4:38pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

'Kepulangan' abu mayat Chin Peng abai perasaan polis, tentera

KUALA LUMPUR: PAS membidas pihak yang membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, kerana tidak menghiraukan perasaan dan sentimen bekas anggota polis dan tentera yang menentang komunis.

Menyifatkan tindakan itu sebagai mendukacitakan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana individu di negara ini mengagungkan Chin Peng atau perjuangan komunis.

“Soal dia dah meninggal dunia, tidak apalah tapi apa motif (bawa pulang abu mayat)? Walaupun hanya abu, sentimen tentera, pegawai polis kita dan orang awam perlu diberi perhatian.

“Negara menentang sistem komunis dan perjuangan komunisme menyebabkan ribuan anggota, orang awam terkorban. Kalau balik untuk mengagungkan perjuangan komunis, saya fikir ini kesilapan yang paling besar.

“Saya rasa ini tindakan yang tidak ambil kira hati bekas anggota tentera dan polis. Saya sangat berdukacita dan tak perlu diagung-agungkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, portal berita Malaysiakini melaporkan abu mayat bekas Setiausaha Agung PKM itu dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lalu, selepas enam tahun kematiannya, yang secara kebetulan pada tarikh yang sama.

Portal itu melaporkan, abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand oleh sekumpulan individu, sebelum ditabur di laut berhampiran Lumut di Perak, dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Pengumuman mengenai abu mayat Chin Peng diumumkan dalam satu upacara peringatan di Ipoh yang dihadiri lebih 30 kenalan dan rakan seperjuangan pemimpin PKM itu, yang tidak didedahkan kepada orang ramai untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, khuatir jika tindakan itu dibiarkan, lebih banyak kumpulan atau individu yang tampil melakukan perkara lain bagi mengangkat perjuangan komunis.

“Bayangkan kalau nanti dibina tugu pula, adakan majlis setiap tahun raikan hari berkenaan. Apa akan jadi pada negara kita?

“Kita tak perlu undur ke belakang. Perjuangan berpuluh tahun tentera kita melawan komunis harus kita hormati. Kita letak Tugu Negara kita, lambang perjuangan lawan komunis,” katanya.

Berita Harian X