Rabu, 27 November 2019 | 7:00pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Eizairi Shamsudin
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Eizairi Shamsudin

RUU IPCMC yang ditambah baik dibentang minggu depan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang ditambah baik, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, memaklumkan perkara itu selepas mengemukakan Laporan Jawatankuasa Khas RUU IPCMC 2019 kepada semua Ahli Parlimen, pagi tadi.

Beliau memberi jaminan, semua cadangan jawatankuasa itu akan diambil kira dan akan memilih syor yang sesuai, sebelum kerajaan membentangkan RUU berkenaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kandungan laporan dan syor yang dicadangkan jawatankuasa terbabit tidak dapat didedahkan kepada umum kerana berstatus embargo sehingga di bentangkan minggu depan.

“Selepas ini, saya akan bawa cadangan ini kepada Jemaah Menteri dan jika mereka bersetuju dengan cadangan daripada jawatankuasa khas ini, maka kita akan teruskan pembentangan RUU ini pada minggu hadapan.

“Laporan itu mengemukakan kira-kira 36 cadangan penambahbaikan daripada yang dibincangkan sebelum ini iaitu 24.

“Semua cadangan ini akan diambil berat oleh pihak kerajaan dan sekiranya ada mana-mana yang sesuai, kita akan ambil kira,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Vui Keong memuji hasil cadangan yang dikemukakan jawatankuasa khas itu berdasarkan pelbagai sesi bertemu orang awam selama enam minggu.

“Mereka mengadakan sesi townhall serta banyak lagi sesi dan orang awam juga hadir memberi cadangan, termasuk persatuan bekas polis serta anggota polis yang masih bertugas,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, Dewan Rakyat menetapkan supaya RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan lagi kandungannya, termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X