Rabu, 27 November 2019 | 7:05pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman. - Foto Aizuddin Saad

Laporan polis diterima isu abu mayat Chin Peng

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, mengesahkan polis menerima laporan berhubung tindakan sekumpulan individu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Sehubungan itu, katanya, polis akan menyiasat sama ada kumpulan itu melanggar undang-undang apabila membawa balik abu mayat Chin Peng pada 16 September lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak pasti siapa individu yang membuat laporan polis dan jumlah yang diterima kerana hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Bukit Aman.

“Saya dimaklumkan ada laporan polis dibuat, jadi kita biarkan polis siasat jika ada pelanggaran undang-undang dan sebagainya.

“Cuma daripada segi dasarnya, seperti dimaklumkan (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada kebenaran diberi untuk membawa abu mayat Chin Peng ke Malaysia, tiada kebenaran.

“Memang kerajaan dulu ada memutuskan dasar (melarang abu mayat Chin Peng dibawa ke Malaysia) dan kerajaan hari ini tidak pernah mengubah dasar itu. Secara praktikalnya, dasar itu kekal,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita Malaysiakini bahawa abu mayat bekas Setiausaha Agung PKM itu dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lalu, selepas enam tahun kematiannya, yang secara kebetulan pada tarikh yang sama.

Portal itu melaporkan, abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand oleh sekumpulan individu, sebelum ditabur di laut berhampiran Lumut di Perak, dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Pengumuman mengenai abu mayat Chin Peng diumumkan dalam satu upacara peringatan di Ipoh yang dihadiri lebih 30 kenalan dan rakan seperjuangan pemimpin PKM itu, yang tidak didedahkan kepada orang ramai untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Terdahulu, BERNAMA melaporkan, Muhyiddin yang berada di Bangkok menegaskan, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia dan hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan.

Berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa saja perlu memaklumkannya kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Berita Harian X