Rabu, 27 November 2019 | 9:02pm

Kerajaan tidak pernah luluskan permohonan bawa masuk abu mayat Chin Peng - TPM

SHAH ALAM: Kerajaan tidak pernah menerima atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan tidak akan sesekali membelakangkan jasa dan pengorbanan wira yang terkorban ketika mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Kementerian Pertahanan tidak pernah menerima permohonan atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu Chin Peng.

“Sudah tentu kerajaan dan Kementerian Pertahanan tidak akan dan tidak pernah membelakangkan jasa serta pengorbanan perwira terdahulu, termasuk keluarga dan waris yang kehilangan ahli keluarga dalam membendung pengaruh komunis.

“Saya juga yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara akan menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan merasmikan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019’ di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abu mendiang pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat ruang pameran selepas merasmikan merasmikan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019’ di Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X