Khamis, 28 November 2019 | 1:07pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

RM1.165 juta fi pasang cermin gelap kenderaan diterima kerajaan

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.165 juta dikutip hasil bayaran fi yang dikenakan bagi permohonan menggunakan cermin gelap setakat ini, sejak peraturan mengenainya berkuat kuasa Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata jumlah kutipan itu membabitkan 413 permohonan termasuk permohonan atas faktor kesihatan yang dikecualikan fi.

“Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensyaratkan setiap permohonan cermin gelap atas faktor keselamatan, dikenakan bayaran RM50 sebagai fi perkhidmatan manakala bayaran RM5,000 dikenakan selepas ia diluluskan.

“Untuk permohonan atas faktor kesihatan pula, pemohon dikecualikan daripada bayaran fi perkhidmatan dan fi kelulusan.

KOTA BHARU 22 DISEMBER 2018. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar bersama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail pada sidang media selepas Majlis Malam Gala dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), dan Scania Asia Tenggara di Hotel Perdana. NSTP/SYAMSI SUHAIMI
KOTA BHARU 22 DISEMBER 2018. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar bersama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail pada sidang media selepas Majlis Malam Gala dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), dan Scania Asia Tenggara di Hotel Perdana. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

“Sehingga bulan ini, hasil kutipan fi bagi permohonan cermin gelap adalah lebih RM1 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai jumlah fi yang dikutip daripada permohonan dan kelulusan penggunaan cermin gelap.

Kamarudin berkata, semua proses kelulusan permohonan cermin gelap dilaksanakan oleh jawatankuasa yang diketuai JPJ tanpa campur tangan Menteri dan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai justifikasi mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, Kamarudin menjelaskan, pelaksanaannya digariskan dengan terperinci dalam buku panduan dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Buku panduan ini merangkumi tiga komponen iaitu garis panduan mengenai pematuhan produk kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), cara pemakaian dan penggunaan CRS serta pelaksanaan penguatkuasaan ke atas peraturan pemakaian CRS,” katanya.

Bermula 1 Januari tahun depan, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata langkah baharu itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Berita Harian X