Khamis, 28 November 2019 | 1:52pm

DAN2.0 percepat proses pemodenan bekalan makanan negara

JOHOR BAHRU: Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dijangka dapat menstruktur semula strategi mempercepat proses pemodenan, selain mengurus permintaan dan penawaran bekalan makanan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan dalam kerangka strategi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan penyediaan DAN 2.0 bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Katanya, DAN 2.0 yang bakal dilancarkan pada tahun 2021, akan meneruskan objektif dasar agro makanan sedia ada bagi menjamin keselamatan makanan dan meningkatkan sumbangan kepada pendapatan golongan sasar dan ekonomi negara.

“DAN 2.0 akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan hala tuju baharu dalam tempoh 10 tahun seperti membangunkan input pertanian dalam semua subsektor agro makanan, menjadikan negara sebagai pengeluar utama buah tropika di peringkat dunia dan memantapkan perkhidmatan pengembangan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

DR Wan Azizah Wan Ismail (tengah) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tiga dari kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tiga dari kanan) melakukan gimik pelancaran sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

“DAN 2.0 juga akan menambah baik aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan kepelbagaian baharu yang tahan perubahan iklim dan mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

“Selain daripada memperkukuhkan sistem kawalan, pemantauan dan pengawasan (MCS) dalam subsektor perikanan, penekanan khusus turut diberikan dalam subsektor industri asas tani dan keusahawanan agro seperti agro-kulinari dan agro-pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK 2019) di Angsana Mall di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dr Wan Azizah berkata, pembangunan sektor agromakanan pada masa hadapan perlu mengambil kira kemampanan sumber asli dan alam sekitar serta memastikan semua rakyat mendapat sumber makanan yang mencukupi, berkhasiat dan mampu dibeli, selaras dengan tema Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 iaitu ‘Leaving No One Behind’.

HPPNK 2019 dengan tema Makanan Kita Masa Depan Kita berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Disember yang menampilkan 350 usahawan terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara.

Penganjuran tahun ini menampilkan enam kluster aktiviti yang dijalankan sepanjang ekspo iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan.

DR Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (kiri) serta Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal melawat pameran di ruang pameran selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X