Jumaat, 29 November 2019 | 7:44am

'RM20 juta daripada MIGHT bukan untuk projek kereta terbang'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan menjelaskan peruntukan RM20 juta yang disediakan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) tiada kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang atau super drone (mobiliti udara) yang dibangunkan Aerodyne Group.

Kementerian itu dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, peruntukan dana itu adalah bagi membangunkan inovasi dan penyelidikan serta pembangunan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP), dengan DreamEdge dan MIGHT dilantik sebagai peneraju NNCP.

Kementerian itu turut menjelaskan, ia tidak mempunyai peruntukan dan kuasa meluluskan dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang projek dron.

“Projek (super drone) diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan.

“Projek ini tidak membabitkan peruntukan daripada kerajaan dan oleh itu tidak dibawa ke peringkat Majlis Pembangunan Negara (MPN) atau Mesyuarat Jemaah Menteri kerana tidak memerlukan keputusan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, tiada keperluan untuknya menjalankan audit kewangan dan harta intelek ke atas syarikat Aerodyne Group yang melaksanakan projek super drone kerana ia bukan perolehan kerajaan.

“Projek ini tidak membabitkan peruntukan kementerian dan kementerian tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti dirancang.

“Kementerian Pembangunan Usahawan mengambil maklum rumusan dan cadangan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) berkaitan mobiliti udara.

“Pihak kementerian sedang menyediakan maklum balas yang lengkap. Maklumat yang dikemukakan oleh kementerian ini adalah berdasarkan maklumat yang berada dalam kementerian. Maklumat tindakan agensi lain akan dilihat kembali oleh kementerian,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, PAC dalam laporannya mengenai projek super drone yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, dan turut dimuat naik di laman web PAC, menyatakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, membuat pengumuman terlalu awal mengenai projek berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, PAC mendapati MIGHT melalui VentureTech Sdn Bhd (VTSB) meluluskan pelaburan dalam Aerodyne sebanyak RM20 juta yang disalurkan pada 1 November lalu.

PAC juga meminta Jabatan Audit Negara membuat pengauditan terhadap pelaburan RM20 juta itu. – BERNAMA

Berita Harian X