Jumaat, 29 November 2019 | 7:12pm
Aerodyne sudah berkembang di 25 negara dengan lebih 330 pekerja di seluruh dunia dalam perniagaan terasnya, iaitu pengeluaran dron. - Foto FB Aerodyne Group

Arodyne nafi terima dana kerajaan untuk bina kereta terbang

KUALA LUMPUR: Aerodyne Group (Aerodyne) menafikan menerima dana RM20 juta daripada Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) bagi membangunkan projek kenderaan mobiliti udara atau ‘kereta terbang’ pertama negara.

Sehubungan itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Kamarul A Muhammad, berkata pihaknya sedia diaudit pihak berkaitan kerana yakin tiada dana awam digunakan untuk projek itu.

Syarikat itu juga tidak pernah menerima geran daripada mana-mana agensi kerajaan walaupun mengakui pernah ditawarkan geran RM2 juta daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebelum ini.

Aerodyne tidak memerlukan dana MDEC, sebaliknya berpendapat dana itu lebih baik disalurkan kepada usahawan lain yang lebih memerlukan.

“Kami tidak pernah menghubungi Kementerian Pembangunan Usahawan bagi mendapatkan sebarang bantuan melainkan berkenaan rangka kerja dan peraturan mengenai dron di Malaysia.

“Aerodyne sudah berkembang di 25 negara dengan lebih 330 pekerja di seluruh dunia dalam perniagaan terasnya, iaitu pengeluaran dron walaupun hanya menerima bantuan yang sangat sedikit daripada kerajaan. Tiada geran yang pernah diambil daripada mana-mana agensi kerajaan.

“Kami sangat berterima kasih (ditawarkan geran) tetapi akhirnya menolak dengan baik geran RM2 juta yang dinilai secara bebas dan diluluskan oleh MDEC. Kami menolak kerana saya lebih rela dana itu digunakan oleh usahawan lain yang lebih memerlukan.

“Dalam pada itu, MDEC menerusi program GAIN (Rangkaian Inovasi dan Pemesatan Global) memang memainkan peranan besar dalam membantu perkembangan kami di pasaran global,” katanya menerusi kiriman di Facebook (FB), di sini hari ini.

Kamarul berkata, pertemuannya dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan beberapa agensi lain awal tahun ini bertujuan menentukan bagaimana pihaknya boleh memberi sumbangan semula kepada negara, selain membantu membentuk masa depan negara, bukannya meminta dana.

“Saya tidak menyangka pertemuan dengan pihak kementerian dan agensi lain itu ‘memakan diri’ kami,” katanya.

Menurut Kamarul, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak pernah memanggil beliau untuk berbincang atau bertanya sebarang persoalan.

Dalam pada itu, Aerodyne juga sudah menangguhkan projek kenderaan mobiliti udara sejak Ogos lalu apabila perniagaan teras syarikat iaitu dron, berkembang pesat di seluruh dunia dan kini syarikat menumpukan 100 peratus kepada usaha memperluaskan perniagaan.

Projek kenderaan mobiliti udara memerlukan tempoh pembangunan yang panjang, justeru tidak akan menjadi produk utama syarikat untuk sekurang-kurangnya hingga tahun 2025.

Mengenai dana diterima syarikat, Aerodyne menjelaskan pihaknya baru-baru ini mendapatkan pelaburan tertutup Siri B sebanyak AS$30 juta (RM125 juta) termasuk RM20 juta daripada VentureTech Sdn Bhd (VTSB) yang kemudian disangka digunakan untuk projek kenderaan mobiliti udara.

Selain Malaysia, pelabur lain dalam pembiayaan Siri B itu ialah dari Indonesia, Korea, China dan Jepun yang mana 100 peratus pelaburan berkenaan adalah untuk kegunaan pengembangan perniagaan dron saja.

PAC dalam laporan mengenai projek super dron yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam yang turut dimuat naik di laman web PAC, menyatakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, membuat pengumuman terlalu awal mengenai projek berkenaan.

Menurut laporan itu, PAC mendapati MIGHT melalui VentureTech meluluskan pelaburan dalam Aerodyne sebanyak RM20 juta yang disalurkan pada 1 November lalu.

PAC juga meminta Jabatan Audit Negara membuat pengauditan terhadap pelaburan RM20 juta itu.

Berita Harian X