Sabtu, 30 November 2019 | 10:00am
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Akses, ekuiti tema penting pendidikan negara

PUTRAJAYA: Berpegang kepada dua tema penting pendidikan iaitu akses dan ekuiti sejak 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya membuka peluang kepada semua pelajar untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata pihaknya memberi tumpuan kepada dua aspek terbabit yang perlu diberi kepada pelajar, bermula seawal pra sekolah selaras dengan matlamat Pendidikan Untuk Semua (EFA).

Ini termasuk pelajar yang dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) tetapi mempunyai keupayaan untuk belajar dan menguruskan diri.

Beliau berkata, jika dilihat pelajar di peringkat pra sekolah, KPM merekodkan lebih 80 peratus biarpun sasaran adalah 100 peratus namun momentumnya sampai apa yang diinginkan.

Katanya, bagi peringkat Sekolah Rendah, akses berkembang lebih 95 peratus dan sekiranya dirujuk dengan piawaian Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), ia dianggap 100 peratus dan ini menunjukkan, akses bagi pelajar kepada pendidikan merangkumi semua pelajar.

“Di peringkat Sekolah Menengah iaitu tingkatan satu hingga tiga, kita mencatatkan lebih 90 peratus namun di peringkat Tingkatan 4 dan 5, kita menghadapi sedikit cabaran apabila hanya 85 peratus sahaja.

“Jumlah terbabit dipandang serius dan kita dapati, terdapatnya dua cabaran membabitkan Tingkatan 4 dan 5 iaitu kemungkinan pelajar terbabit di luar sistem atau sudah bekerja di lokasi yang tidak dapat dikesan pihak kementerian.

“Secara keseluruhan, kita berbangga dengan peningkatan biarpun terdapat cabaran di peringkat pra sekolah dan menengah atas," katanya yang ditemui di pejabatnya di sini.

Amin berkata, bagi aspek ekuiti ataupun kualiti membabitkan dimensi peluang pendidikan membabitkan biasiswa, pelajar mempunyai sistem ekonomi berbeza maka sebab itulah, tahun ini, hampir 60 peratus pelajar Tingkatan 1 yang masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) adalah pelajar dari golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Dasar ini juga merangkumi matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menunjukkan erti kata yang lain sosial ekonomi status pelajar diambil kira untuk pastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti.

“Kemasukan ini tanpa kita kompromi kriteria asas yang perlu dimiliki pelajar terbabit. Ia bukan maknanya disebabkan pelajar itu dari B40. Kementerian ada minimum standard yang perlu dilepasi untuk kemasukan ke SBP, IPG atau matrikulasi,” katanya.

Mengenai usaha kerajaan membabitkan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata, cabaran Industri Revolusi 4.0 membuka mata semua pihak sebab itulah, kementerian sudah mempersiapkan keperluan seawal mungkin di sekolah rendah dengan menjadi satu-satunya negara di di Asia Tenggara yang memperkenalkan komponen penting seperti pengkodan, pemikiran komputasi dan pengaturcaraan.

Katanya, dulu masyarakat menganggap orang cerdik itu hanyalah mereka yang bagus akademiknya manakala mereka yang ke sekolah vokasional itu adalah pelajar yang 'tak cerdik'.

“Namun sekarang, aliran terbabit menjadi pilihan pelajar seiring keperluan dunia yang memerlukan kemahiran berkaitan TVET. Ini menunjukkan aliran TVET sama penting dengan aliran lain yang memenuhi keperluan semasa.

“Melalui rekod, kolej vokasional hanya mempunyai 15,000 tempat sahaja tetapi setiap kali permohonan dibuka, ia mencecah 60,000 dan ada satu ketika, mencecah 80,000 permohonan. Melihat kepada jumlah terbabit, kita membuka peluang terbabit dengan kemasukan ke politeknik dan kolej komuniti supaya ia dapat menampung baki permohonan terbabit.

“Apabila kita menekankan TVET, sejak tiga tahun kebelakangan lebih 90 peratus mereka yang keluar daripada kolej vokasional sahaja, sudah bekerja dan pernah direkodkan sehingga 98 peratus.

“Ini menjadi kejayaan kementerian maka kita mempunyai transformasi TVET secara keseluruhan yang merangkumi sekolah, politeknik, kolej komuniti dan juga universiti dan kolej vokasional,” katanya.

Mengenai pelajar yang tidak dapat memasuki KV, politeknik dan kolej komuniti, Amin berkata, mereka boleh masuk ke Tingkatan 4 aliran biasa dengan mengambil sebagai satu pilihan dalam pembelajaran iaitu Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan selepas itu pula, Mata Pelajaran Vokasional (MPV) yang jelas menunjukkan peluang untuk masuk ke aliran TVET terbuka luas.

“Peluang untuk mempelajari aliran TVET tidak pernah terhalang biarpun tidak dapat masuk ke KV kerana kita menyediakan peluang sama di sekolah biasa yang memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih apa yang mereka mahukan,” katanya.

Ditanya peluang kepada pelajar yang OKU, Amin berkata, terdapatnya jumlah peningkatan dan ini menjadi cabaran kepada kementerian untuk memastikan mereka dapat pendidikan seperti pelajar lain.

Katanya, pihaknya kini sedang memperbanyakkan sekolah yang mempunyai integrasi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di mana sekolah yang terbabit akan mewujudkan satu ruang kepada golongan OKU.

“Buat masa ini, kita sudah menambah sebanyak 30 PPKI namun ia masih belum mencukupi tetapi kita sememangnya sudah ada sekolah pendidikan khas bagi pelajar OKU.

“Kita berusaha menambahnya tetapi ia adalah cabaran apabila memerlukan perbelanjaan dan penambahan guru.

“Apabila bercakap soal penambahan, ia memerlukan perhatian dari aspek infrastruktur dan usaha melatih guru yang perlu mengambil masa bagi melatih pelbagai kaedah dan kemahiran pengajaran.

“Sebab itu jugalah, kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu dan memberi latihan kepada guru terbabit membabitkan pelbagai kemahiran,” katanya.

Berita Harian X