Sabtu, 30 November 2019 | 1:42pm
Daim (empat dari kanan) bersama Mohd Hatta (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian ahli Koperasi Terbaik Malaysia 2019 sempena majlis Simposium Cabaran Gerakan Koperasi Era Globalisasi hari ini. - Foto BERNAMA
Daim (empat dari kanan) bersama Mohd Hatta (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian ahli Koperasi Terbaik Malaysia 2019 sempena majlis Simposium Cabaran Gerakan Koperasi Era Globalisasi hari ini. - Foto BERNAMA

Koperasi boleh bantu kerajaan tunaikan janji kepada rakyat - Daim

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempunyai pelan tindakan yang kukuh bagi mengotakan janji yang dibuat untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Dr Daim Zainuddin, menegaskan kegagalan menunaikan janji yang mudah dibuat, memberi kesan yang sangat buruk kepada kerajaan apabila rakyat mulai marah dan memberontak.

Katanya, konsep kemakmuran bersama yang dicadangkan dalam gagasan baharu kerajaan perlu dipraktikkan sepenuhnya, supaya rakyat juga menerima hak mereka dan bukannya berkonsepkan keuntungan sebelah pihak.

“Kes FELDA, (apabila) perut lapar, kita marah. Sama dalam kes nelayan. Mereka tangkap ikan dan jual RM5 sekilogram tetapi di pasar ia dijual semula RM22.

“Siapa yang kaut untung RM17 lagi itu. Ini tidak adil kepada nelayan yang bersusah payah tetapi hasilnya cukup kecil, sedangkan ada pihak lain mengaut untung berlebihan,” katanya berucap di Majlis Simposium Cabaran Gerakan Koperasi Era Globalisasi, Pelancaran Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2019 dan Indeks Gerakan Koperasi, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh.

Mengulas lanjut, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan, mengakui pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya penoreh getah juga diberi hak untuk terbabit dalam industri pembuatan sarung tangan getah, selepas melihat pengilang mengaut untung jauh lebih besar.

Sehubungan itu, katanya koperasi di negara ini perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu 6.5 juta ahlinya yang majoriti adalah golongan berpendapatan rendah.

“Pilih sektor yang bersesuaian, contohnya industri berasaskan makanan. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Asia memerlukan bekalan makanan bernilai RM800 bilion kerana jumlah penduduk makin bertambah, sedangkan tanah boleh guna makin sedikit.

“Rebutlah peluang ini demi kemakmuran bersama. Koperasi mesti berperanan untuk atasi masalah orang tengah,” katanya yang turut mencadangkan beberapa idea kepada pengurusan koperasi ketika sesi soal jawab.

Katanya, gerakan koperasi hari ini perlu berani berubah daripada menjalankan perniagaan secara tradisional kepada bentuk perniagaan baharu, seiring dengan arus perdana ekonomi yang berskala besar, seperti pembangunan hartanah dan kawalan makanan.

Simposium kali ini diadakan serentak dengan Pelancaran Profil 100 Koperasi Terbaik 2019 dan Pelancaran Indeks Gerakan Koperasi (IGKM).

Sebanyak 100 koperasi terbaik yang diiktiraf SKM mencatatkan keuntungan RM9.77 bilion dengan syer dan yuran yang dikumpul berjumlah RM8.9 bilion serta aset RM123.4 bilion.

Berita Harian X