Sabtu, 30 November 2019 | 5:04pm
AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) menerima anugerah Lang Antarabangsa yang disampaikan Rina pada Majlis Makan Malam Gala Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah
AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) menerima anugerah Lang Antarabangsa yang disampaikan Rina pada Majlis Makan Malam Gala Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah

Lam Thye rangkul Anugerah Aktivis Sosial Paling Menonjol

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah berprestij, Anugerah Lang Antarabangsa sebagai pengiktirafan terhadap pelbagai sumbangannya kepada komuniti dan negara.

Beliau merangkul Anugerah Aktivis Sosial Paling Menonjol yang disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Majlis Makan Malam Gala Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Lee Chee Weng, berkata Lam Thye, 73, adalah calon paling sesuai dinobatkan sebagai penerima anugerah itu selepas hampir setengah abad berkhidmat untuk negara.

Lam Thye adalah Pengerusi Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS); Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta Penaung Persatuan Pencinta Haiwan (SPCA) Selangor dan Persatuan Psikiatrik Malaysia.

Beliau juga menjawat jawatan Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (WASC), Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan pemegang amanah Yayasan Perpaduan Negara.

Lam Thye juga adalah Ahli Lembaga Pengarah The New Straits Times Press (M) Bhd, selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) selama 27 tahun selepas kontraknya tamat pada September lalu.

Sementara itu, Lam Thye berkata, beliau sangat gembira menerima anugerah berkenaan, selain turut mendedikasikannya kepada semua rakyat yang bekerja keras untuk membantu orang lain.

Anugerah itu, katanya, akan memotivasikan aktivis sosial seperti beliau untuk terus berusaha dan bekerja lebih keras bagi merealisasikan erti sebenar jolokan rakyat Malaysia yang penyayang.

“Kerja amal tidak seharusnya menjadi inisiatif sekali saja, sebaliknya adalah usaha berterusan untuk membantu orang ramai, khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Ia juga akan membuatkan golongan kurang berkemampuan menyedari bahawa sentiasa ada pihak yang membantu mereka apabila diperlukan,” katanya.

Berita Harian X