Ahad, 1 Disember 2019 | 4:46pm
Cadangan peruntukan baharu Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 tidak menyekat pengamal perubatan berdaftar membekalkan ubat kepada pesakit. - Foto hiasan

RUU bukan sekat pengamal perubatan - Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA: Cadangan peruntukan baharu Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 tidak menyekat pengamal perubatan berdaftar membekalkan ubat kepada pesakit sekiranya memilih untuk mengambil ubat di fasiliti perubatan mereka, seperti mana amalan semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 (Bacaan Pertama di Dewan Rakyat), antara lain memperkenalkan peruntukan baharu yang mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi sekiranya diminta oleh pesakitnya.

“Peruntukan ini adalah bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatannya.

“Ia membabitkan pilihan sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di sebuah farmasi luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa pengamal perubatan akan terus dikenakan hukuman penjara sekiranya tidak mengeluarkan preskripsi atas permintaan pesakit, Dr Dzulkefly menafikannya.

Beliau menjelaskan, sebelum satu preskripsi boleh dikeluarkan, pesakit mesti terlebih dulu menjalani sesi konsultasi dengan seorang pengamal perubatan berdaftar.

“Konsultasi adalah asas untuk preskripsi dikeluarkan kepada pesakit. Ini bermaksud pesakit tidak sewenang-wenangnya boleh berjumpa dengan pengamal perubatan berdaftar dan menuntut apa saja preskripsi dikeluarkan.

“Akta Racun 1952 memperuntukkan bahawa seorang pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar boleh membekalkan racun (ubat) untuk tujuan rawatan pesakitnya atau pelanggannya,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata pihaknya mengambil maklum bantahan beberapa pihak terhadap jenis hukuman yang dikenakan sekiranya peruntukan itu tidak dipatuhi.

“Selepas perkara ini dibincangkan dengan Pengurusan Tertinggi kementerian, Majlis Penasihat Kesihatan dan Kamar Peguam Negara, kita bersetuju untuk meneliti semula perkara ini dan akan membentangkan cadangan penambahbaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Berita Harian X