X
Ahad, 1 Disember 2019 | 9:11pm
KEPUTUSAN peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2019 dipinda kepada 19 Disember. NSTP/L Manimaran
KEPUTUSAN peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2019 dipinda kepada 19 Disember. NSTP/L Manimaran

Pengumuman keputusan PT3 dipinda 19 Disember

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2019 yang sepatutnya diumumkan pada 12 Disember ini dipinda kepada 19 Disember untuk memberi masa secukupnya kepada guru memasukkan markah dalam sistem disediakan Lembaga Peperiksaan (LP).

Pengarah LP, Adzman Talib, berkata pihaknya menerima aduan daripada guru berhubung mereka berdepan sedikit masalah untuk memasukkan markah dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum tarikh akhir yang diberikan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya membuat keputusan meminda jadual asal pengumuman keputusan peperiksaan itu, bukan ditangguhkan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Beliau berkata, pihak sekolah juga akan mengeluarkan keputusan PT3 bersama keputusan Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik secara serentak pada tarikh berkenaan.

“Kebiasaannya LP akan membenarkan pihak sekolah memberikan keputusan semua pentaksiran itu pada minggu kedua atau ketiga bulan Disember atau sebelum sambutan Krismas.

“Pada 2014 misalnya diberikan pada 22 Disember, 2015 (14 Disember), 2016 (19 Disember), 2017 (14 Disember) dan2018 (13 Disember),” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan pihak tertentu tarikh pengumuman keputusan PT3 ditangguhkan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan ibu bapa menduduki peperiksaan terbabit.

Adzman berkata, tiada istilah penangguhan dalam pengumuman keputusan PT3 kepada calon oleh pihak sekolah, sebaliknya tarikh pengumuman peperiksaan tertakluk kepada banyak faktor walaupun sudah ditetapkan sebagai cadangan dalam takwim peperiksaan.

Katanya, antaranya proses pembersihan data, kajian terhadap prestasi keseluruhan pelajar peringkat kebangsaan dan ketepatan maklumat pelajar.

Beliau berkata, surat siaran yang disampaikan kepada Pengarah Negeri adalah untuk edaran dalaman dan bukannya untuk makluman awam.

“Surat itu menjelaskan tugas perlu dilakukan oleh Pengarah Negeri, Pengetua dan Setiausaha Peperiksaan di sekolah mengikut tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X