Isnin, 2 Disember 2019 | 12:13pm
MOHAMAD Sabu ketika membentangkan Kertas Putih pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kertas Putih Pertahanan gariskan dua peranan ATM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini membentangkan Kertas Putih (KPP) bertajuk 'Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur' di Dewan Rakyat yang antara lain menggariskan peranan utama dan sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

KPP membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

KPP adalah julung kali dibentangkan kepada umum berbanding DPN sebelum ini yang lebih bersifat tertutup. KPP akan menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang membentangkan KPP selepas sesi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, berkata menerusi KPP itu ATM memainkan peranan utama dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan.

ATM juga berperanan menjaga keutuhan wilayah daripada semua ancaman menerusi pelaksanaan operasi maritim, udara, darat dan siber-elektromegnetik.

“Peranan sekunder pula ialah melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan, membantu pihak berkuasa awam dalam penguatkuasaan serta sokongan usaha keamanan sejagat melalui panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

KPP akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara maritim dan memaksimumkan potensi sebagai gerbang penjalin antara rantau Asia Pasifik dengan Lautan Hindi.

KPP adalah dokumen mengenai hala tuju strategik dan perancangan pertahanan negara. Berbeza daripada dokumen dasar pertahanan negara yang terperingkat, ia adalah bersifat terbuka dan boleh diakses rakyat.

KPP dibangunkan bagi membabitkan rakyat dan pihak berkepentingan dalam isu pertahanan negara, selain menjelaskan persekitaran strategik keselamatan yang sentiasa berubah dan bagaimana keadaan itu mempengaruhi keselamatan Malaysia.

“KPP memenuhi visi negara melalui tiga keberhasilan iaitu keesahan, penerimaan dan kebolehpercayaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Berita Harian X