Isnin, 2 Disember 2019 | 1:28pm

'Rakyat Malaysia mahu tahu perkara sebenar'

PUTRAJAYA: Polis diarah menyegerakan laporan penuh berhubung perhimpunan 300 individu dikatakan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM), di sebuah kolej swasta di Kajang, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan isu komunis, kebelakangan ini, sekali gus menegaskan bahawa perkara itu tidak boleh dibiar berlarutan kerana ia menggusarkan rakyat.

“Rakyat Malaysia mahu tahu perkara sebenar dan mereka tidak mahu cerita bohong atau palsu. Sudah pasti rakyat mahu tahu apa berlaku dan sebabnya.

“Sebagai agensi bertanggungjawab, saya juga mahu tahu apa yang berlaku dan kita tidak boleh berlengah tanpa tindakan sewajarnya,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2019, di sini, hari ini.

Menurut laporan media sebelum ini, penganjuran perhimpunan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.

Mengulas mengenai anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu, didakwa turut menghadiri perhimpunan itu pula, Muhyiddin berkata, beliau ada membaca laporan media berhubung perkara itu.

“Kita akan meneliti dahulu, termasuk apa tujuan dia yang mungkin mahu menunjukkan perasaannya pada majlis terbabit.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat apa yang berlaku dan menilai langkah yang perlu diambil berdasarkan pelbagai aspek dan sudut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati kepelbagaian kaum, latar belakang dan keturunan di negara ini, bagi memastikan keamanan dikecapi terus berkekalan.

“Saya sebagai rakyat Malaysia juga risau. Malah kadangkala lebih risau, kenapa mutakhir ini ada trend sebegini timbul. Apakah negara kita sudah matang dari segi demokrasi, hendak buat apa suka, siapa mahu menunjukkan perasaan tertentu boleh buat sebegitu ataupun ada kesan lain?

“Apa yang penting bagi saya, sebagai menteri bertanggungjawab menentukan negara kekal aman dan sejahtera serta tiada pergolakan dan perkara boleh menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan rakyat, itu penting untuk dipertimbangkan.

“Dalam mengatakan kita bebas boleh buat apa saja, kita hendak kaji sekiranya apa yang dilakukan membawa kesan tidak baik kepada negara, dan pihak kementerian memandang berat perkara sebegitu,” katanya.

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sijil penghargaan kepada Tan Sri Dr Aseh Che Mat pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019, di Putrajaya. Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X