Isnin, 2 Disember 2019 | 1:55pm
RINA Harun

Rina, Redzuan belum bincang cadangan kembangkan projek kereta terbang ke luar bandar

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun tenang menjawab 'usikan' Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) supaya kementeriannya membantu mengembangkan kereta terbang ke luar bandar.

Ketika mahu menjawab soalan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Shahidan berdiri dan mencelah meminta Rina berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, untuk mengembangkan projek kereta terbang.

Secara selamba dan tersenyum Rina menjawab: "Terima kasih YB Arau, kami belum berbincang lagi".

Jawapan itu menimbulkan gelak ketawa Ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Rina berkata, kementeriannya sedang meneliti program baharu untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Katanya, kementeriannya juga sedang giat mempromosi program [email protected] yang bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang.

Beliau berkata, melalui platform itu, pemasaran produk usahawan luar bandar tidak hanya terhad kepada pasaran domestik malah ia juga boleh dicapai oleh pelanggan luar negara.

“Bagi menyokong [email protected] ini, pihak kementerian sedang dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk meningkatkan akses dan kemudahan prasarana internet di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang bertanyakan langkah-langkah yang diambil kementerian bagi menangani isu penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar.

Sementara itu, Rina berkata, penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar mencatat kadar 19.5 peratus daripada kadar migrasi pada tahun lalu.

Katanya, penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar pula mencatat kadar 4.8 peratus berdasarkan laporan tinjauan migrasi tahun 2018 dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada penghijrahan itu ialah faktor keluarga, kerjaya dan persekitaran.

“Antara strategi dan program yang dilaksanakan oleh kementerian bagi menangani penghijrahan ialah dengan melengkapkan luar bandar dengan jalan perhubungan, elektrik dan mempunyai capaian internet yang baik.

“Pelaksanaan ekonomi seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), program peningkatan pendapatan, latihan kemahiran dan kerjaya, program pemasaran produk selain program keusahawanan dan kemudahan pembiayaan perniagaan,” katanya.

Berita Harian X