Isnin, 2 Disember 2019 | 4:33pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Mikail Ong

Tak perlu hangatkan isu abu mayat Chin Peng - Anwar

KUALA LUMPUR: Isu kepulangan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia tidak seharusnya dijadikan isu besar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengakui fakta keganasan komunis serta keperluan menjaga perasaan veteran polis dan tentera, Presiden PKR itu turut mengingatkan bahawa Kerajaan Malaysia sudah pun berdamai dengan PKM menerusi Perjanjian Damai Hatyai pada 1989.

“Saya ambil pendirian yang lebih lunak. Kita tahu sejarah, masalah kekejaman, perlawanan (dengan komunis), sensitiviti dan perasaan tentera dan polis, tetapi juga tahu bahawa kita sudah capai perdamaian.

“(Bekas Perdana Menteri ke-2) Tun Abdul Razak Hussein sudah mula berunding dengan Chou En Lai (Perdana Menteri China), (bekas Perdana Menteri ke-6) Datuk Seri Najib Razak ada hubungan baik dengan Parti Komunis China dan Kerajaan China.

“(Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad juga teruskan (hubungan baik dengan China) dan saya pun berjumpa Parti Komunis China. Jadi saya tak fikir soal abu mayat itu harus jadi terlalu hangat,“ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Parlimen, hari ini.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Beberapa media turut melaporkan lebih 300 individu, termasuk bekas ahli PKM mengadakan perjumpaan dalam satu majlis memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, pagi semalam.

Isu mengenai komunis kembali menjadi polemik susulan kepulangan abu mayat Chin Peng, dengan ada yang mempertahankan tindakan itu kerana menepati Perjanjian Damai Hatyai, di samping yang mengkritik kerana mengguris hati keluarga mangsa anggota polis, tentera dan orang awam yang menjadi korban keganasan komunis.

Sementara itu, mengulas mengenai kaukus itu, Anwar memaklumkan mesyuarat hari ini bersetuju sebulat suara untuk menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) menyiasat dakwaan salah laku hakim kanan negara.

“Kaukus bersetuju meneruskan RCI menyiasat salah laku membabitkan hakim dan kita akan panjangkan kepada Kabinet. Perdana Menteri pun telah nyatakan persetujuannya di peringkat awal sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X