Isnin, 2 Disember 2019 | 4:58pm
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran. - NSTP/Asyraf Hamzah

MMA desak Kementerian Kesihatan tarik balik pindaan RUU Akta Racun

KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan setiap pengamal perubatan berdaftar dan swasta untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakit akan memberikan kesan kepada sebahagian besar pengamal perubatan.

Justeru, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), menggesa Menteri Kesihatan menarik balik cadangan pindaan Akta Racun 1952, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) 2019, yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 November lalu.

MMA merasakan cadangan berkenaan disediakan tanpa sebarang penelitian dan rundingan dengan pakar terutama dalam kalangan pengamal perubatan berdaftar atau swasta yang akan terkesan susulan pindaan akta berkenaan.

Presidennya, Dr N Ganabaskaran, berkata pindaan yang menetapkan preskripsi mandatori atas permintaan pesakit seperti menyediakan maklumat mengenai penyakit, rawatan termasuk ubat-ubatan kepada pesakit perlu dikeluarkan daripada pindaan RUU itu oleh Kementerian Kesihatan sebelum pembentangan.

“MMA sudah menerima maklumat berhubung RUU ini, yang membolehkan doktor didenda dan dipenjara kerana menolak untuk memberikan preskripsi atas permintaan pesakit dan kami beranggapan ia tidak wajar.

“Pada pandangan kami (MMA) hukuman penjara terhadap pengamal perubatan berdaftar adalah sia-sia dan Kementerian Kesihatan serta semua badan kerajaan harus mengelakkan tindakan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata cadangan supaya pengamal perubatan berdaftar dan swasta mengeluarkan preskripsi elektronik secara dalam talian kepada pesakit adalah satu bentuk motivasi, namun ia juga boleh dilakukan secara komprehensif.

“MMA bimbang tindakan secara pantas dan penambahan aplikasi yang berupaya menyediakan perundingan dan rawatan dalam talian ini akan membawa kepada persekitaran yang tidak sihat di mana pesakit tidak perlu berjumpa doktor, sebaliknya mereka dapat memilih ubat daripada menu berdasarkan simptom yang dialami.

“Penggunaan antibiotik yang tidak dikawal selia, rawatan suboptimal penyakit tidak berjangkit dan penyalahgunaan benzodiazepine akan menyebabkan kesan buruk kepada sektor kesihatan awam yang baharu,” katanya.

Berdasarkan isu-isu yang diketengahkan, MMA benar-benar berharap supaya Kementerian Kesihatan tidak meneruskan pindaan RUU berkaitan perkara itu, namun atas semangat keikhlasan sedia bekerjasama untuk menggubal versi baharu dalam akta berkenaan berdasarkan keperluan negara.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan bercadang memasukkan peruntukan baharu dalam RUU Racun (Pindaan) 2019, bagi memastikan hak pesakit dijamin dan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatannya sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau fasiliti luar.

Kementerian Kesihatan juga menegaskan bahawa cadangan itu tidak sama sekali menyekat pengamal perubatan berdaftar untuk membekalkan ubat kepada pesakit, sebaliknya memberi peluang kepada pesakit untuk membuat pilihan.

Berita Harian X