Isnin, 2 Disember 2019 | 7:23pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto BERNAMA

Dokumen sokongan akan bantu perjelas KPP

KUALA LUMPUR: Dokumen sokongan akan dirangka bagi memperjelas perkara berbangkit mengenai Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengakui KPP yang dibentang itu terlalu umum, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menjelaskan dokumen sokongan berkenaan akan dibuat berdasarkan tiga blok binaan dinyatakan dalam kertas berkenaan.

"KPP ini adalah dokumen induk, selepas ini terdapat beberapa dokumen sokongan akan dikeluarkan, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan Bersama ATM, Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan rangka tindakan kapasiti pertahanan.

"Setiap perenggan dalam ucapan saya tadi (ketika pembentangan KPP) akan dibincangkan dan diproses dalam bentuk tindakan kerana ia dibentang dalam bentuk begitu umum.

"Perincian pelan reformasi ini akan disusun dengan keutamaan berdasarkan keputusan dicapai melalui Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan peringkat nasional," katanya ketika menggulung perbahasan KPP.

Mohamad turut mencadangkan supaya mana-mana Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang untuk membahaskan semula KPP, jika mengenal pasti berlaku penyelewengan sepanjang pelaksanaannya.

"Kementerian dan jawatankuasa ini akan membawa anjakan besar dalam pendekatan tadbir urus lebih baik dan telus. Sebab ini juga KPP tak membincangkan kalau ada penyelewengan terdahulu.

"Cuma, (KPP) dijanjikan akan lebih baik pada masa akan datang. Baik atau tidak, Ahli Parlimen boleh berbahas semula, kalau ada penyelewengan dalam pelaksanaan KPP nanti," katanya.

Mengenai peruntukan bagi pelaksanaan KPP, beliau menjelaskan, tiada perbelanjaan spesifik dinyatakan, selain secara umum memohon 6.5 peratus daripada belanjawan tahunan.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13 kita sudah bincang di peringkat kementerian dan merangka perolehan serta alat diperlukan untuk memenuhi KPP.

"Kita juga sudah memulakan beberapa perbincangan berterusan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk merancang keperluan sebenar bagi RMKe-12 dan RMKe-13.

"Selain itu, kita juga cuba memohon (belanja pertahanan) sekurang-kurangnya satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun," katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul KPP menerusi undian suara.

Berita Harian X