Isnin, 2 Disember 2019 | 7:25pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Hentikan minum-minum dan 'buat deal' - SPRM

CYBERJAYA: Pegawai awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit dalam pemberian tender perlu menghentikan budaya ‘urusan sambil berlibur’, minum kopi atau teh tarik bersama pemohon tender, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.

Beliau berkata, langkah pencegahan amalan rasuah seperti tidak keluar minum bersama pihak berkepentingan adalah penting dalam memastikan proses integriti ‘hidup’ dan bukan sekadar mantra.

Katanya, dalam proses permohonan tender, ada pegawai yang cenderung keluar berjumpa pemohon tender berpotensi di luar pejabat dan luar waktu pejabat untuk minum dan ‘buat deal’.

“Saya tidak bermaksud tidak boleh berjumpa langsung. Jika pegawai itu mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen atau tender dan sebagainya, dia tidak seharusnya berjumpa dengan orang tertentu di luar (waktu bekerja) dan mengatakan ia sekadar minum-minum,” katanya.

Ditemui selepas membentangkan kertas bertajuk ‘Combatting Corruption: Corporate Scandals and Its Challenges’ (Melawan Rasuah: Skandal Korporat dan Cabarannya’) pada sambutan Hari Integriti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini hari ini, Latheefa berkata langkah pencegahan rasuah perlu dipertingkatkan walaupun larangan pemberian hadiah sudah dilaksanakan.

Dalam kertas kerjanya, Latheefa berkata, 32 daripada lebih 100 GLC di negara ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi dalam amalan rasuah.

“Pegawai kanan SPRM ditempatkan di 32 GLC berkenaan manakala pegawai lain ditempatkan di GLC berisiko sederhana dan rendah. Mereka mengetuai Unit Integriti dan Governans (IGU) di GLC,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Oktober tahun lalu mengumumkan setiap GLC wajib menubuhkan IGU dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak dalam ucapannya berkata, SKMM dijangka melancarkan pelan anti rasuah organisasi pada awal 2020.

“Ia akan membabitkan pelbagai program dan sesi latihan kepada semua warga kerja supaya pengurusan, dasar dan prosedur SKMM mengutamakan integriti dan bersifat antirasuah,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X