Isnin, 2 Disember 2019 | 8:00pm
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. - NSTP/Eizairi Shamsudin

KPP ubah masa depan pesara tentera, industri pertahanan

Kuala Lumpur: Kertas Putih Pertahanan (KPP) akan menggalakkan perkhidmatan awam dan sektor swasta menyediakan ‘pekerjaan kedua’ kepada pesara tentera, khususnya pegawai lain-lain pangkat yang menamatkan perkhidmatan sekitar usia 45 tahun.

Ia juga bakal mereformasi industri pertahanan negara dengan memastikan lebih ramai pemain industri tempatan menghasilkan inovasi untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi pertahanan dan keselamatan lain.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, berkata rangka kebajikan pesara tentera yang digariskan dalam KPP tidak lagi terhad kepada kadar pencen semata-mata, sebaliknya memastikan mereka juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Hala tuju berkaitan veteran dalam KPP menumpu pada ‘kerjaya kedua’ oleh awam dan swasta, khususnya untuk pegawai lain-lain pangkat selepas mereka mengakhiri perkhidmatan dalam ATM.

“Dulu kita tumpu hanya kebajikan veteran tapi hala tuju masa depan selain kebajikan adalah memberi kerjaya kedua supaya pengalaman dan apa yang mereka belajar dalam perkhidmatan tentera, dapat disumbang kepada ekonomi,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Berhubung reformasi sektor pertahanan negara, Chin Tong menjelaskan, agensi lain selain Kementerian Pertahanan diperlukan bagi memikirkan mengenai pelaburan dalam industri pertahanan.

Katanya, industri pertahanan juga akan digalakkan menghasilkan inovasi berkaitan pertahanan dan keselamatan untuk ATM serta kegunaan awam.

“Semua agensi pertahanan dan keselamatan boleh guna pakai produk atau inovasi tempatan supaya ada skala ekonomi. Itu reformasi yang kita fikirkan.

“Masalah sekarang ialah industri pertahanan kita kebanyakannya ejen, hanya ‘postman’, bukan inovasi. Kita harap dengan KPP, kita boleh ada hala tuju sebegini,” katanya.

Berita Harian X