Isnin, 2 Disember 2019 | 8:00pm

EKSKLUSIF: Sikap ambil mudah punca kena tipu

KUALA LUMPUR: Ugutan dan tekanan yang digunakan anggota sindiket ‘Macau Scam’ menyebabkan masih ramai individu menjadi mangsa, walaupun modus operandi penipuan itu banyak didedahkan pihak berkuasa dan media.

Lakonan kumpulan sindiket menunjukkan kuasa dengan menyamar sebagai pegawai dan anggota pihak berkuasa menyebabkan mangsa panik dan menuruti saja kehendak ‘si penipu’ dengan memindahkan wang ke akaun tertentu, lazimnya digelar ‘akaun tumpang’.

Sifat naif pula menyebabkan mangsa tidak berupaya berfikir secara waras ketika berdepan dengan pembohongan kumpulan berkenaan.

Pakar Kriminologi dan Psikologi, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Mayda Dr Geshina Ayu Mat Saat, berkata penemuan ini berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pasukannya terhadap mangsa penipuan.

Beliau berkata, anggota sindiket atau scammer ini akan berusaha membuat penampilan sebagai pegawai agensi penguat kuasa yang memiliki autoriti.

“Ini mampu menimbulkan rasa was-was, panik, dan keinginan mangsa untuk membela diri atau mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Dalam erti kata lain, mereka menyamar sebagai penjawat awam atau pegawai bank sebagai taktik meyakinkan mangsa untuk menyerahkan wang mereka.

“Kajian kami mendapati individu yang menjadi mangsa sindiket penipuan disebabkan oleh satu atau lebih perkara berkenaan.

“Menurut kajian (Cressey, 1954), scammer biasanya mempelajari teknik atau modus operandi daripada motif, dorongan dan konteks kriminologi dari semasa ke semasa, ia menjadi lebih mudah untuk melakukan penipuan dan menjadi lebih mahir mendapatkan mangsa,” katanya kepada BH.

Dr Geshina Ayu berkata, kajian Modic dan Lea (2011) juga mendapati bahawa sikap ambil mudah dikaitkan dengan kebarangkalian seseorang individu itu menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, individu yang tidak ambil peduli terhadap sesuatu modus operandi penipuan akhirnya akan menjadi mangsa.

“Terdapat kepercayaan dalam kalangan individu itu bahawa mereka tidak akan menjadi mangsa penipuan sehinggalah ia benar-benar berlaku kepada mereka,” katanya.

Mengenai kemungkinan mangsa dipukau, Dr Geshina Ayu menjelaskan tiada sebarang kajian secara mendalam dijalankan berhubung perbuatan pukau atau hipnotis kerana ia sukar untuk dibuktikan secara fizikal atau diolah semula.

“Apa yang ada hanyalah anekdot mangsa yang menerangkan apa yang berlaku terhadap diri mereka. Pada prinsipnya, semua orang boleh belajar cara hipnosis dan semua orang boleh dihipnotis.

“Bagaimanapun tiada siapa yang boleh melakukan hipnotis atau dihipnotis semudah melalui tenungan semata-mata. Hasil penyelidikan yang pernah dilakukan menunjukkan ia bergantung kepada perhatian dan imaginasi individu yang dihipnotiskan.

“Selain itu, sering ada hubungan terdahulu antara penjenayah dan mangsa yang mungkin tidak diketahui oleh mangsa yang meningkatkan kecurigaan kepada isyarat hipnotis,” katanya.

Berita Harian X