Isnin, 2 Disember 2019 | 8:59pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan [email protected] pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019, di Putrajaya. Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

Pekerja asing: KDN teliti cadangan SPRM

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti kewajaran cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya proses kemasukan pekerja asing diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan mengenainya diambil.

“Apapun pandangan SPRM, kita akan mengambil kira, sama ada wajar atau tidak, ini kita akan teliti lebih lanjut lagi,” katanya kepada media selepas sambutan Hari Imigresen di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya baru-baru ini, yang mencadangkan proses kemasukan pekerja asing dikendalikan KDN ketika ini dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia.

Latheefa dilaporkan berkata, SPRM melihat perlu ada penambahbaikan sistem dalam pengambilan pekerja asing kerana Kementerian Sumber Manusia lebih tahu berapa banyak pekerjaan sedia ada untuk mereka.

Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KDN dan menyerahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dalam proses kemasukan warga asing, sama ada yang datang untuk bekerja atau melancong, perlu melalui pintu masuk Malaysia dulu, yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen di bawah KDN.

“Kalau dia (warga asing) nak bekerja pun, tak boleh terus bekerja, kena masuk pintu masuk Malaysia mengikut dasar yang kita laksanakan dan mematuhi undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Imigresen.

“Cuma selepas masuk, mereka mendapat permit untuk bekerja, maka selepas itu mereka tertakluk dengan undang-undang pekerjaan dan akta berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia, termasuk pembayaran gaji serta apa yang diwajibkan kepada majikan.

“Tetapi kalau mereka tidak bekerja dan pas kerja melampaui tempoh masa, maka Jabatan Imigresen masih ada kuasa untuk menahan dan hukum mereka berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Berita Harian X