Isnin, 2 Disember 2019 | 9:31pm
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Pindaan Akta Racun: Ada pihak cuba kelirukan pengamal perubatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) berpendapat ada kumpulan doktor menentang pindaan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 kerana salah faham yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Presidennya, Amrahi Buang, berkata pihaknya sedar pembentangan RUU Racun mendapat tentangan daripada golongan doktor berhubung satu perkara tertentu.

“MPS sangat kesal atas tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing iaitu Commonwealth Medical Association (CMA), yang mempersoalkan pembentangan RUU Racun ini.

“MPS menganggap tindakan ini sebagai campur tangan asing terhadap kerajaan dan mencabul kehormatan negara. Apa saja permasalahan berkaitan perkara ini seharusnya diselesaikan dalam negara kerana ini isu dalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada RUU Racun yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada sidang Parlimen 25 November lalu.

“Pindaan ini adalah sangat wajar bagi mendepani cabaran globalisasi, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dan revolusi industri 4.0. Ia adalah satu usaha murni yang ingin dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden CMA, Dr. Osahon Enabulele, dalam satu kenyataan berkata pindaan itu membimbangkan kerana ia memaksa pengamal perubatan mengeluarkan preskripsi apabila diminta oleh pesakit dan jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan denda RM3,000.

Dr. Osahon berkata CMA sentiasa menyokong dalam memastikan hak pesakit terjaga tetapi tidak sampai menghapuskan hak dan autonomi profesional pakar perubatan di negara Komanwel.

“Pindaan ini bukan saja melanggar autonomi profesional pakar perubatan, malah tidak sepadan dengan kod etika serta rangka kerja seorang pengamal perubatan,” katanya yang turut menggesa pindaan berkenaan ditarik balik.

Berita Harian X