Isnin, 2 Disember 2019 | 11:07pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadirii Majlis Makan Malam Fundraising Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Nasional di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. NSTP/Roslin Mat Tahir.

Ahli BERSATU perlu utamakan kepentingan parti - Dr Mahathir

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengutamakan kepentingan parti berbanding diri sendiri.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, berkata sikap mementingkan diri masih ada dalam kalangan ahlinya dan sikap sedemikian perlu dibuang demi kebaikan parti.

“Sikap golongan dewasa dalam sesebuah parti ialah mereka takut akan dicabar. Sikap golongan dewasa ini berbeza dengan cara golongan muda, wanita dan srikandi dalam parti.

“Satu cara untuk kekalkan nasib mereka (golongan dewasa) dalam politik dan parti ialah dengan pastikan tiada cabaran daripada mana-mana pihak.

“Jika kita berjuang untuk parti kita akan rasa nikmatnya. Apabila berparti, kita kena kikis sikap pentingkan diri sendiri,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut mengumumkan kutipan dana RM5.12 juta yang akan disalurkan kepada ARMADA di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ARMADA perlu melakukan gerak kerja lebih bersungguh-sungguh untuk menarik lebih ramai ahli baharu menyertai BERSATU.

“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kita kalah teruk. Kekalahan ini mungkin kita tiada pekerja (ahli).

“Jumlah ahli masih kurang dan mungkin atas sebab ini kita pun kalah pada PRK Semenyih” katanya.

Berita Harian X