Selasa, 3 Disember 2019 | 11:10am
MOHAMAD Sabu menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan 2019, di Wisma Pertahanan. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

Hishammuddin tidak mendalami KPP - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Dakwaan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kononnya tiada ‘faktor wow’ berhubung pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) menunjukkan bekas Menteri Pertahanan itu tidak mendalami inti pati kertas putih berkenaan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata Hishammuddin tidak seharusnya memfokuskan aspek aset ketenteraan dalam KPP semata-mata sebaliknya melihat setiap kandungan yang turut menyentuh mengenai peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mungkin mereka (Ahli Parlimen pembangkang) mahu Kementerian Pertahanan umum berapa kapal terbang yang dibeli, itu sudah soal lain.

“Kalau pihak terbabit membaca setiap perenggan KPP, ada huraiannya.

“Mereka akan lihat apa peranan ATM, sistem perolehan yang akan memenuhi kehendak KPP itu,” katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Pertahanan 2019, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan berkata ketiadaan ‘faktor wow’ atau penarik menyebabkan blok pembangkang mempertikaikan kandungan KPP yang dibentangkan Mohamad di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, beliau amat menantikan pembentangan kertas putih berkenaan, bagaimanapun selepas menyemak kandungannya yang diedarkan dan selepas mendengar pembentangan menteri, ia amat mengecewakan kerana tiada faktor penarik.

Sementara itu, Affendi berkata ketika ini, pihaknya dalam keadaan siap siaga bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri terjejas seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Katanya, bilangan dan aset tentera yang akan dikerahkan bergantung kepada permintaan dan keadaan semasa.

“Kalau keadaan bertambah buruk termasuk paras air makin naik, kita akan hantar lebih ramai anggota.

“Kita juga sudah membuat beberapa penerbangan ihsan, hantar bekalan asas kepada mangsa.

“Dalam hal ini, kita akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mendapatkan maklumat banjir dari semasa ke semasa,” katanya.

Malam tadi, NADMA dilaporkan menambah 2,000 unit khemah untuk menampung keperluan mangsa banjir yang semakin meningkat berikutan cuaca tidak menentu.

Pengarah Operasi NADMA, Datuk Hussein Omar Khan, berkata 10,000 unit khemah sudah diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ke seluruh negara lebih awal secara berperingkat.

Berita Harian X