Selasa, 3 Disember 2019 | 11:40am

Kerajaan pertimbang bantuan tunai kepada mangsa banjir

RANTAU PANJANG: Kerajaan Pusat akan mempertimbangkan bantuan tunai kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pihaknya akan meneliti jumlah kerugian yang dialami mangsa banjir.

“Kita akan timbang berapa banyak kerugian dan melihat (keadaan kewangan) kita mampu atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi yang menempatkan 809 mangsa, di sini, hari ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sampaikan makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di SK Gual Tinggi. - Foto Fathil Asri

Pada lawatan berkenaan, Dr Wan Azizah turut menyampaikan kit makanan kepada mangsa banjir.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, trend banjir yang kini melanda Kelantan dilihat seperti banjir 2016.

“Kita lihat berkemungkinan seperti 2016, bukannya seteruk bah kuning 2014. Namun banjir 2016 juga membabitkan ramai mangsa yang berpindah ke PPS.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan petugas di Pusat Pemindahan Sementara di SK Gual Tinggi. - Foto Fathil Asri

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di SK Gual Tinggi. - Foto Fathil Asri

“Justeru, kita perlu meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi banjir kerana Monsun Timur Laut dijangka berlaku sehingga Februari ini.

“Kita bukan saja melihat Rantau Panjang dan Pasir Mas, sebaliknya di semua lokasi lain yang terjejas untuk memberi keutamaan projek tebatan banjir,” katanya.

Mengulas mengenai kemudahan di PPS, Dr Wan Azizah berkata, terdapat sebahagian PPS perlu ditambah baik terutama ibu yang mempunyai anak kecil kerana dimaklumkan tidak cukup selimut.

“Begitu juga PPS yang terdapat warga emas yang berkerusi roda serta wanita yang memakai tudung. Sensitiviti itu perlu diambil kira juga,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di SK Gual Tinggi. - Foto Fathil Asri
Berita Harian X