Selasa, 3 Disember 2019 | 1:45pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) melancarkan buku panduan kesihatan mental di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

Tiada sekatan doktor bekalkan ubat cuma pesakit diberi pilihan

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan sedia mengkaji semula bentuk hukuman kepada pengamal perubatan dan ahli farmasi yang melanggar Akta Racun 1952 tetapi tidak akan menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata adalah salah dakwaan mengatakan pengamal perubatan atau ahli farmasi akan terus dikenakan hukuman termasuk penjara sekiranya gagal mengeluarkan preskripsi atas permintaan pesakit.

Beliau menjelaskan sebelum satu preskripsi boleh dikeluarkan, pesakit mesti terlebih dulu menjalani sesi konsultasi dengan pengamal perubatan berdaftar.

“Konsultasi adalah asas untuk preskripsi dikeluarkan kepada pesakit. Ini bermaksud pesakit tidak sewenang-wenangnya boleh berjumpa dengan pengamal perubatan berdaftar dan menuntut apa saja preskripsi dikeluarkan.

“Akta Racun 1952 memperuntukkan bahawa seorang pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar boleh membekalkan racun (ubat) untuk tujuan rawatan pesakitnya atau pelanggannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku panduan kesihatan mental di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata KKM tetap dengan pendiriannya tidak akan menarik balik cadangan pindaan Akta Racun 1952, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) 2019 yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat, pada 25 November lalu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata kementerian tidak akan berbuat demikian kerana ia sudah mengambil kira pandangan semua pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum pindaan undang-undang berkenaan dibuat.

Katanya, isu desakan menarik balik RUU Akta Racun 1952 tidak wajar timbul kerana kementerian sudah banyak kali mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan berhubung pindaan itu.

Beliau berkata cadangan MMA supaya kementerian menarik balik pindaan Akta Racun 1952 tidak sepatutnya timbul kerana KKM sudah banyak kali mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan mengenai rang undang-undang terbabit.

Malah, Dr Dzulkefly menegaskan cadangan peruntukan baharu RUU Akta Racun (Pindaan) 2019 tidak menyekat pengamal perubatan berdaftar membekalkan ubat kepada pesakit sekiranya memilih untuk mengambil ubat di fasiliti perubatan mereka, seperti mana amalan semasa.

“Bagi saya isu berkenaan tidak sepatutnya timbul kerana kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuklah pengamal perubatan dan ahli farmasi sebelum pindaan rang undang-undang berkenaan dibentangkan ke Dewan Rakyat untuk bacaan pertama, pada minggu lalu.

“Bagaimanapun, kita sedia meneliti semula pindaan rang undang-undang berkenaan membabitkan pelaksanaan hukuman terhadap mereka yang melanggar akta berkenaan supaya lebih adil kepada semua pihak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas desakan MMA supaya kementerian menarik balik RUU itu yang antara lain memperkenalkan peruntukan baharu yang mewajibkan pengamal perubatan berdaftar mengeluarkan preskripsi sekiranya diminta oleh pesakit.

Pindaan itu bermakna pesakit mempunyai pilihan sama ada mahu mengambil ubat di tempat mereka mendapatkan rawatan atau meminta preskripsi daripada pengamal perubatan untuk mendapatkan ubat di farmasi berdaftar.

RUU berkenaan antara lain mencadangkan hukuman penjara dan denda RM3,000 ke atas pengamal perubatan yang enggan mengeluarkan preskripsi kepada pesakit mereka.

Sebelum ini MMA mendesak kementerian menarik semula pembentangan RUU berkenaan kerana tidak bersetuju dengan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pengamal perubatan yang tidak mengeluarkan preskripsi kepada pesakit mereka.

Kementerian Kesihatan bercadang memasukkan peruntukan baharu dalam RUU Racun (Pindaan) 2019, bagi memastikan hak pesakit dijamin dan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan ubat bagi rawatannya sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau fasiliti luar.

Kementerian Kesihatan juga menegaskan bahawa cadangan itu tidak sama sekali menyekat pengamal perubatan berdaftar untuk membekalkan ubat kepada pesakit, sebaliknya memberi peluang kepada pesakit untuk membuat pilihan.

Berita Harian X