Selasa, 3 Disember 2019 | 1:56pm
AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong. - Foto Khairunisah Lokman

'Sudah banyak kali Pasir Salak buat begini'

KUALA LUMPUR: Beberapa wakil rakyat kerajaan mendesak supaya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dikenakan tindakan lebih tegas kerana kerap mencetuskan ketegangan dengan mengeluarkan perkataan menghina.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang berperang mulut dengan Tajuddin berkata, perbuatan seperti itu langsung tidak mencerminkan keperibadian sebagai seorang pemimpin.

“Beliau sudah banyak kali melakukan kesalahan. Walaupun sudah meminta maaf, tetapi beliau tidak ikhlas.

“Kenapa perlu kaitkan abu mayat Chin Peng (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya) dengan abu yang dicalit di kepala (dahi) pemimpin (wakil rakyat) beragama Hindu. Itu satu perbuatan menghina,” katanya di lobi parlimen.

Sebelum itu, kedua-dua mereka diarahkan keluar serta digantung menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama dua hari kerana mengingkari arahan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof supaya duduk dan berhenti 'berperang mulut'.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pula menegaskan, perkara itu akan dibincangkan secara lebih mendalam di peringkat parti PH bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Jangan terlalu ikut emosi. Kita akan bawa isu ini kepada parti, sama ada perlu mencadangkan tindakan susulan atau tidak.

“Tindakan ini penting sebagai peringatan kepada Ahli Parlimen yang lain supaya menghormati dewan yang mulia ini,” katanya.

Gesaan itu juga disokong Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang berpendapat wakil rakyat sepatutnya membincangkan isu lebih serius dan jangan sesekali menghina pemimpin lain kerana perbuatan mereka akan dinilai rakyat.

Berita Harian X