Selasa, 3 Disember 2019 | 3:31pm

TPM rai hari lahir di PPS

PASIR PUTEH: Sorakan dan sambutan hari lahir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, membawa sedikit keceriaan buat 182 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 1 di sini, hari ini.

Sambutan itu sempat diraikan petugas dan mangsa banjir di situ ketika Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, membuat melawat PPS berkenaan sempena hari lahir beliau yang ke-67 hari ini.

Beliau sempat meluangkan masa setengah jam di sekolah berkenaan, yang menempatkan 50 keluarga mangsa banjir dari beberapa kampung seperti Kampung Saring, Nara, Kelubi dan Wakaf Bunut yang ditenggelami air sejak Ahad lalu.

DR Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan pek makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di SK Seri Payong. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Zulkifli Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Sementara itu, Zulkifli berkata untuk tahun ini, Kelantan menerima peruntukan RM1 juta bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir.

Katanya, peruntukan itu digunakan bagi membeli keperluan seperti tilam, kit kecemasan, susu dan keperluan lain golongan kanak-kanak serta warga emas.

Selain itu, peruntukan kerajaan negeri turut diberikan bagi membeli makanan dan minuman mangsa banjir melalui bantuan darurat kecemasan.

MANGSA banjir meraikan hari ulang tahun kelahiran Dr Wan Azizah Wan Ismail ke-67 di Pusat Pemindahan Sementara di SK Seri Payong. - Foto NSTP/Ghazali Kori
DR Wan Azizah Wan Ismail melayani kanak-kanak ketika menyambut sambutan hari lahirnya di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Kamil 1. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X