Selasa, 3 Disember 2019 | 5:32pm
Al-Ishsal menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Rating Bintang 2018 di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Al-Ishsal menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Rating Bintang 2018 di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Telco sampaikan maklumat awal banjir - SKMM

CYBERJAYA: Kerjasama syarikat telekomunikasi (telco) menyalurkan maklumat awal ke kawasan bencana seperti banjir di pantai timur tanpa kos, memudahkan orang ramai menerima hebahan menerusi masa nyata.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak, berkata kerjasama membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah lama dilakukan, namun tahun ini ia dimaksimumkan bagi memudahkan penyusunan maklumat ke kawasan bencana.

Beliau berkata, penyaluran maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) terus ke telefon bimbit berkeupayaan 2G, disalurkan beberapa kali ke kawasan pedalaman dan terjejas di Kelantan dan Terengganu.

“Penyaluran maklumat terbabit bersifat masa nyata dilihat berjaya dengan semua telco melakukannya tanpa caj yang menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat masing-masing.

“Asalnya, semua syarikat telco digalak membantu tanpa caj dan apabila dilakukan, ia mengurangkan kos NADMA membantu mangsa bencana dan mengurangkan kos telekomunikasi kepada rakyat terutama penduduk kawasan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Rating Bintang 2018 di Ibu Pejabat SKMM di sini, hari ini.

Pada majlis itu, syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd merangkul tiga daripada lapan anugerah dalam kategori perkhidmatan selular iaitu Penyedia Perkhidmatan Selular Awam Terbaik (MNO), Kepuasan Pelanggan Terbaik dan Kualiti Perkhidmatan Terbaik.

XOX Com Sdn Bhd memenangi kategori Penyedia Perkhidmatan Rangkaian Maya Selular Terbaik (MVNO), manakala Celcom Axiata Berhad menerima anugerah CSR Terbaik dan U Mobile Sdn Bhd bagi kategori Kualiti Perkhidmatan Terbaik.

Maxis Broadband Sdn Bhd memenangi kategori Pelaburan Rangkaian Terbaik dan Webe Digital Sdn Bhd untuk kategori Pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Terbaik.

TT Dotcom Sdn Bhd merangkul kategori baharu iaitu Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Berbayar Terbaik (BAS).

Mengenai majlis yang kali kedua dianjurkan itu, Al-Ishsal berkata, ia bertujuan mengiktiraf perkhidmatan cemerlang oleh telco kepada pengguna, di samping menyemai budaya kualiti kecemerlangan dan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan mereka.

“Anugerah ini adalah pengiktirafan kecemerlangan prestasi pihak penyedia telekomunikasi bagi tahun taksiran 2018 berdasarkan empat faktor iaitu kepuasan pelanggan, kualiti perkhidmatan, pelaburan rangkaian dan pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.

Berita Harian X