Selasa, 3 Disember 2019 | 6:04pm
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Khoo Poay Tiong.

2 Ahli Parlimen digantung akibat isu calit abu mayat Chin Peng

KUALA LUMPUR: Isu calit abu mayat Ching Peng di dahi wakil rakyat menyebabkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dari Barisan Nasional (BN) dan Kota Melaka, Khoo Poay Tiong daripada Pakatan Harapan (PH) diarah keluar dan digantung menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama dua hari, mulai hari ini.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, berkata kedua-duanya diarah keluar dan digantung menghadiri persidangan kerana mengganggu persidangan dan tidak mendengar arahan Speaker.

Dewan mula panas ketika RSN Rayer (PH-Jelutong) mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sama ada Kementerian Pendidikan bersetuju memasukkan tokoh politik PH seperti Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal singh dalam silibus Sejarah.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang kemudian menepuk meja sambil berkata `komunis! komunis! komunis'.

Tajuddin kemudian mencelah bertanya Rayer sama ada abu di dahinya adalah abu mayat Chin Peng (Ketua Parti Komunis Malaya).

Ini menyebabkan beberapa wakil rakyat kerajaan berdiri termasuk P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) meminta Tajuddin menarik balik kenyataan berkenaan kerana didakwanya menghina penganut Hindu.

Rayer kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa BN suka membangkitkan isu perkauman menyebabkan beberapa wakil rakyat BN berdiri mengatakan dakwaan Tajuddin bersifat individu dan tidak mewakili parti berkenaan.

Tajuddin kemudian menjelaskan beliau bertanya soalan itu kerana tidak mahu Rayer dituduh menggunakan abu mayat Chin Peng didahinya.

Mohamad Ariff kemudian memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen supaya menghormati peraturan dewan dan sedia mengarahkan mereka yang engkar keluar dan digantung daripada menghadiri persidangan.

Keadaan menjadi tenang apabila Tajuddin bersetuju menarik balik perkataan berhubung `abu mayat Chin Peng' dengan syarat Rayer juga menarik balik tuduhan BN parti rasis. Rayer kemudian bersetuju berbuat demikian.

Bagaimanapun isu `abu mayat Chin Peng' kembali menghangatkan Dewan rakyat sebaik selesai usul berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No2) 2019 mengenai mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Ia bermula apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen yang merujuk dakwaan Tajuddin bahawa Rayer menggunakan calit abu mayat Chin Peng.

Beliau turut menyatakan kehairanannya kerana selepas membangkitkan isu berkenaan Tajuddin keluar dari dewan.

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) kemudian mencelah mengatakan perkara itu tidak lagi berbangkit kerana kedua-dua pihak sudah menarik balik kenyataan masing-masing.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kemudian mencelah mempertikaikan kenyataan Ramkarpal yang disusuli perang mulut blok pembangkang dan wakil kerajaan.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) kemudian meminta Speaker supaya bertegas terhadap Ahli Dewan Rakyat PH yang kerap membangkitkan isu menggambarkan mereka wakil rakyat `level rendah'.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) kemudian mencelah meminta Noh supaya tidak mengajar Speaker yang lebih bijak daripada beliau.

Poay Tiong kemudian mencelah menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan meminta Tajuddin dikenakan tindakan kerana kerap membangkitkan isu rasis dan menghina kaum.

Tajuddin yang sebelumnya diam kemudian berdiri mengatakan beliau tidak keluar dewan kerana tiada apa yang beliau takutkan.

Ini menyebabkan berlaku perang mulut antara Tajuddin dan Poay Ting dengan kedua-duanya tidak mengendahkan arahan Speaker supaya menghormati peraturan dewan.

Speaker kemudian mengarahkan kedua-duanya keluar kerana tidak mendengar arahan Speaker dan mengganggu persidangan.

Tajuddin kemudian secara sinis meminta hukuman dua hari dinaikkan kepada empat hari kerana beliau ada kerja lain menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang bemula esok.

"Kalau mahu empat hari saya bagi, namun saya hanya bagi dua hari," kata Mohamad Ariff.

Berita Harian X