Selasa, 3 Disember 2019 | 7:31pm
Pemandangan dari udara menunjukkan keadaan air di pekan Rantau Panjang masih lagi berada di paras bahaya berikutan limpahan air Sungai Golok. - NSTP/Fathil Asri

Mangsa banjir di Kelantan cecah lebih 13,000

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,387 orang daripada 4,856 keluarga, setakat jam 6.30 petang tadi.

Mereka ditempatkan di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas meningkat kepada 9,247 orang (3,587 keluarga) di 28 PPS.

Jumlah mangsa banjir di Tumpat pula 2,290 orang (765 keluarga) di enam PPS; Kuala Krai 310 orang (74 keluarga) di enam PPS; dan Kota Bharu 253 orang (76 keluarga) di dua PPS.

Seterusnya, Pasir Puteh 826 orang (219 keluarga) di lapan PPS; Tanah Merah 361 orang (97 keluarga) di tujuh PPS; dan Machang 140 orang (38 keluarga) di tiga PPS.

Sementara itu, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya dengan bacaan 10.40 meter.

Sebanyak 18 jalan pula ditutup, termasuk kepada semua jenis kenderaan, membabitkan 11 di Pasir Mas, Tanah Merah (tiga) dan masing-masing dua di Kuala Krai serta Tumpat.

Berita Harian X