Selasa, 3 Disember 2019 | 8:20pm
Pandangan dari udara di Kampung Nyatuh, Setiu. - NSTP/Imran Makhzan

Banjir di Terengganu beransur pulih

KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 2,852 orang daripada 789 keluarga yang ditempatkan di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat jam 6 petang tadi.

Keadaan banjir beransur pulih berbanding setakat jam 3 petang tadi yang merekodkan 4,912 mangsa ditempatkan di 119 PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata cuaca baik membolehkan banjir surut dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat sejak pagi tadi.

“Alhamdulillah, kita sudah melepasi tahap amaran cuaca buruk dan banjir beransur pulih. Bagaimanapun, kita sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana musim monsun dijangka berlarutan hingga Februari,” katanya.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah terawal dilanda banjir membabitkan Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun, merekodkan penurunan jumlah mangsa, namun bilangan mangsa di Kuala Nerus meningkat.

Di Marang, jumlah mangsa turut berkurangan, sementara PPS di Kemaman sudah ditutup.

Bilangan mangsa banjir di Kuala Terengganu pula tidak banyak berubah.

Sebahagian 52 mangsa banjir Kampung Nyatuh menikmati makan tengah hari di PPS di Surau Kampung Nyatuh, Setiu. - NSTP/Imran Makhzan

Shahrin Abdul Gani, 25, menaiki motosikal dikenali Cub-Cross yang diubah suai boleh meredah air di kedalaman satu meter di Kampung Matang, Kuala Berang. - NSTP/Ghazali Kori

Setakat jam 6 petang tadi, Besut masih mencatatkan jumlah mangsa teramai, iaitu 958 orang daripada 271 keluarga di 23 PPS.

Setiu pula 974 orang (261 keluarga) di 20 PPS; Hulu Terengganu 279 orang (79 keluarga) di empat PPS; Dungun 207 orang (51 keluarga) di enam PPS; Marang 34 orang (tujuh keluarga) di satu PPS; Kuala Terengganu 67 orang (21 keluarga) di satu PPS; dan Kuala Nerus 333 orang (99 keluarga) di lima PPS.

Walaupun cuaca cerah, laporan laman web publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan tiga stesen masih mencatat bacaan paras sungai melepasi tahap bahaya, manakala lima lagi melepasi tahap amaran.

Stesen yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Dungun di Kuala Jengai.

Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Jambatan Permaisuri, Sungai Nerus di Kampung Langkap serta Sungai Telemong di Kuala Ping pula melebihi paras amaran.

Berita Harian X