Selasa, 3 Disember 2019 | 9:32pm

Karnival PERKESO tawar peluang kerja buat OKU

KUALA LUMPUR: Karnival pekerjaan, mini karnival pekerjaan dan temu duga terbuka khas anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini, menawarkan 816 kekosongan jawatan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Ia ditawarkan 24 syarikat yang menyertai karnival di Pejabat PERKESO Melaka, Johor, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah hari ini, sempena sambutan Hari OKU Sedunia.

“PERKESO berperanan penting dalam memberikan peluang pekerjaan kepada OKU, sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menerapkan tiga objektif utama iaitu menstruktur ekonomi, menangani ketidaksamaan dan membina negara.

“Kami sentiasa berusaha memastikan golongan ini tidak ketinggalan, di samping membantu menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Majikan yang hadir hari ini amat prihatin dan menyokong penggajian golongan istimewa ini dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain tawaran pekerjaan, karnival turut mengadakan bengkel supaya golongan pencari kerja OKU didedahkan dengan persediaan dan tips menghadapi temu duga.

PERKESO berkata, mini karnival pekerjaan akan diadakan di Wisma PERKESO Kuala Lumpur pada 12 Disember ini, bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Berita Harian X