Selasa, 3 Disember 2019 | 10:17pm
Pandangan dari udara di Kampung Nyatuh, Setiu. - NSTP/Imran Makhzan
Wan Amir Wan Aziz, 24, bersama isteri, Yusmanita Rahim, 25, membersihkan halaman rumahnya yang dipenuhi lumpur selepas air mulai surut di Kampung Sungai Pinang, Besut. - NSTP/Ghazali Kori

Mangsa banjir Terengganu berkurangan

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 2,306 orang daripada 614 keluarga di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat jam 9 malam ini.

Laporan di aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, jumlah mangsa banjir di lima daerah terjejas iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang menurun.

Bagaimanapun, mangsa di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menunjukkan peningkatan.


Penduduk bermalam di PPS Kampung Paya Besar, Kuala Berang selepas rumah mereka dilanda banjir. - NSTP/Ghazali Kori

Setakat ini, Besut masih merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu 867 orang daripada 218 keluarga di 19 PPS.

Daerah Setiu pula berkurangan kepada 321 mangsa daripada 218 keluarga di 19 PPS); Hulu Terengganu (279 mangsa, 79 keluarga, empat PPS); Dungun (207 mangsa, 50 keluarga, empat PPS) dan Marang (34 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS).

Jumlah mangsa di Kuala Terengganu pula meningkat sedikit kepada 175 mangsa daripada 44 keluarga di satu PPS serta Kuala Nerus (423 mangsa, 127 keluarga, enam PPS).

Berita Harian X