Rabu, 4 Disember 2019 | 12:04am

SMK Riam Miri menang tempat pertama anugerah All About Youth 2019

KUALA LUMPUR: Usaha dan kerja keras lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam Miri, Sarawak, membuahkan hasil ciptaan alat mereka memenangi hadiah pertama anugerah Sentuhan Harapan-All About Youth (AAY) 2019 Chairman’s Circle Award, anjuran Yayasan PETRONAS, hari ini.

Pelajar berkenaan mencipta alat dinamakan Riam Xplug yang berfungsi memberi amaran kepada pengguna untuk menanggalkan plag alat elektrik mereka menerusi aplikasi telefon pintar, sebelum memutuskan arus elektrik secara automatik.

Sebagai juara, lima pelajar itu membawa pulang hadiah utama RM30,000 dan peluang untuk mengkomersialkan projek mereka dengan sebuah syarikat sosial.

Ketua kumpulan pelajar itu, Magdalena Suling Jalong, 16, berkata inovasi mereka boleh digunakan dalam kehidupan harian.

“Pada masa hadapan kami berharap dapat menampilkan generasi alat ini yang lebih menyeluruh dan boleh berada di pasaran.

“Kita berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan mengurangkan penggunaan elektrik, jadi daripada menanggalkan plag (secara manual), kini anda boleh menggunakan telefon pintar dengan memuat turun aplikasi Riam Aplug untuk mengawalnya,” katanya kepada BERNAMA.

Sekolahnya adalah salah satu daripada lima pasukan finalis yang dihakimi berhubung inovasi, relevan, impak mampan dan kebolehan komersial projek, berdasarkan kepada kepada tema AAY2019 ‘Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Hadapan yang Lebih Baik’.

Sementara itu, Muhammad Amir Hariz Mashuri, 16, dari SMK Tun Habab, Johor, yang meminati bidang elektronik memenangi Anugerah Remaja Terbaik dan membawa pulang hadiah wang RM3,000.

“Satu hari nanti saya ingin memiliki syarikat saya sendiri yang boleh membangunkan idea untuk inovasi, dan ini bukan penghujungnya, malah saya akan bawa idea-idea ke masa hadapan untuk menambah baik dan menaik tarafnya,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada idea pasukannya, PELTZ, yakni pendingin hawa yang tidak bergantung kepada ‘chlorofluorocarbon’ (CFC), akan memberi manfaat kepada alam sekitar di masa hadapan.

Tahun ini 50 sekolah dengan 1,000 pelajar mengambil bahagian dalam AAY2019 dalam usaha mencari penyelesaian berkaitan alam sekitar dan acara itu disokong oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Turut hadir dalam program hari ini ialah Pengerusi Yayasan PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Lita Osman. – BERNAMA

Berita Harian X