Rabu, 4 Disember 2019 | 12:19pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Tajuddin sudah tarik balik, biarlah'

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengaitkan abu di dahi RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan abu mayat Chin Peng, disifatkan sebagai satu penghinaan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, menegaskan semua pihak tidak perlu lagi memperbesarkan perkara itu kerana Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, sudah menarik balik kenyataan berkenaan.

“Itu sesuatu yang tak wajar. Kita dah hidup bersama sejak sekian lama sebagai masyarakat yang bersatu padu dan ini (calitan di dahi) bukan baru, kita dah selalu lihat penganut Hindu menggunakannya.

“Untuk masyarakat Hindu, ia adalah abu suci. Tindakan mengaitkannya dengan abu individu yang sudah mati, adalah satu penghinaan yang tidak sepatutnya disebut.

“Tapi jika dia sudah tarik balik dan mohon maaf, maka atas semangat Malaysia, kita biarkan (isu ini selesai). Kadang-kadang mereka berkata sesuatu kerana teruja, terutama dalam Parlimen apabila seluruh negara memerhati,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, isu abu mayat Chin Peng mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat sehingga Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) diarah keluar dan digantung menghadiri persidangan selama dua hari, bermula semalam.

Dewan mula panas ketika Rayer mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sama ada Kementerian Pendidikan bersetuju memasukkan tokoh politik PH seperti Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal singh dalam sukatan pelajaran Sejarah.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang kemudian menepuk meja sambil berkata `komunis! komunis! komunis', sebelum Tajuddin mencelah bertanya Rayer sama ada abu di dahinya adalah abu mayat Chin Peng yang juga bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Ia menyebabkan Dewan kecoh dengan sejumlah Ahli Parlimen PH mendesak kenyataan itu ditarik balik, sebelum Tajuddin bersetuju menarik balik perkataan berhubung `abu mayat Chin Peng' dengan syarat Rayer juga menarik balik tuduhan BN parti rasis. Rayer kemudian bersetuju berbuat demikian.

Isu `abu mayat Chin Peng' kembali menghangatkan Dewan Rakyat apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen, merujuk dakwaan Tajuddin bahawa Rayer menggunakan calit abu mayat Chin Peng.

Poay Tiong kemudian mencelah meminta Tajuddin dikenakan tindakan kerana kerap membangkitkan isu rasis dan menghina kaum, sebelum berperang mulut dengan Tajuddin, menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mengarahkan kedua-duanya keluar dan digantung kerana tidak mendengar arahan dan mengganggu persidangan.

Berita Harian X