Rabu, 4 Disember 2019 | 1:32pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Mohd Fadli Hamzah

91,978 pemandu e-hailing lulus ujian PSV

KUALA LUMPUR: Hingga Isnin lalu seramai 91,978 pemandu e-hailing lulus ujian Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan dilesenkan.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata seramai 42,818 calon pula gagal dalam ujian berkenaan dan mereka adalah angka kumulatif dan kebanyakannya mengikuti peperiksaan semula dan sebahagiannya lulus.

"PSV yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah untuk semua pemandu kenderaan perkhidmatan awam merangkumi teksi dan bas. Hingga kini jumlah terkumpul lesen PSV adalah 358,944 yang mana PSV untuk pemandu teksi adalah 28,860," katanya.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan bilangan pemandu e-hailing yang berjaya mendapat lesen PSV dan gagal serta jumlah keseluruhan pemandu teksi berlesen masa kini dan bagaimana persaingannya dengan pengangkutan awam lain.

Anthony Loke berkata, kewujudan e-hailing memberi peluang kepada pengguna untuk memilih perkhidmatan awam yang lebih cepat, murah dan efisien menuju sesuatu destinasi.

Perkhidmatan itu memberikan keselesaan kepada penumpang dan memudahkan mereka bergerak ke mana-mana destinasi terutama bandar raya tanpa mengira masa dan tambang pula berpatutan.

Khidmat e-hailing juga membuka peluang pekerjaan kepada semua golongan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan pemandu wanita mengikut syarat ditetapkan.

"Pemandu juga boleh memilih untuk bekerja sebagai pemandu sepenuh masa atau menjadikan e-hailing sebagai pekerjaan sambilan untuk menambah pendapatan," katanya.

E-hailing tidak menjejaskan pendapatan pemandu teksi kerana mereka juga boleh menawarkan khidmat itu kepada penumpang.

Menjawab soalan tambahan Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai operasi GoJek di negara ini, Loke berkata, konsep perkhidmatan e-hailing motosikal di negara ini tidak tertumpu kepada GoJek semata-mata.

Sebaliknya katanya, kerajaan memberi kelulusan konsep perkhidmatan e-hailing motosikal atau teksi motosikal dengan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan untuk mengendali operasinya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menghalang operasi GoJek yang berpangkalan di Indonesia di negara ini.

"Projek perintis teksi motosikal itu akan diadakan tidak lama lagi di Lembah Klang dan ia akan menjadi penanda aras untuk pelaksanaannya di seluruh negara termasuk faktor keselamatan dan tambang.

"Bagi pembonceng wanita, kita menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan penunggang sama jantina dengan mereka bagi mengelak diskriminasi dan faktor keselamatan," katanya.

Sementara itu, Loke berkata, kerajaan sudah memutuskan sebanyak 54 jenis barangan dikecualikan syarat lesen, permit atau lesen import barangan kargo/komoditi pada 29 Ogos lalu.

Ini tertakluk kepada Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 bagi aktiviti `transshipment' melalui kontena `Full Container Load' (FCL) di pelabuhan yang mempunyai status zon perdagangan bebas (FTZ).

Sehubungan itu, berkata kementeriannya melakukan langkah susulan untuk memastikan jabatan atau agensi kerajaan terbabit menyelaras dan menguatkuasakannya sebaik mungkin.

Kerajaan juga bersetuju semua 54 jenis barangan berkenaan adalah barangan kargo/komoditi berkaitan `transshipment' di pelabuhan seluruh negara untuk destinasi pasaran antarabangsa bukan dijual atau digunakan dalam pasaran tempatan.

Sebanyak 20 jenis barangan pula dikekalkan daripada penguatkuasaan syarat lesen, permit atau lesen import kerana barangan kargo/komoditi membabitkan keselamatan, Dasar Konvensyen Antarabangsa dan kawalan penyakit.

"Isu penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan di bawah tanggungjawab Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan bantuan jabatan atau agensi penguatkuasaan kerajaan lain.

"Saya dimaklumkan, JKDM sedang mengambil tindakan sewajarnya bersama agensi berkaitan bagi mengelak aktiviti penyeludupan barangan `transshipment' termasuk komoditi seperti beras dan gula di pelabuhan dan di pintu masuk sempadan negara," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chan Foon Hin (PH-Kota Kinabalu) pada sesi soal jawab berhubung pengecualian 54 kargo yang memerlukan permit import (AP) dalam aktiviti `transshipment' di pelabuhan di negara ini dan tindakan diambil untuk mengawal dan membanteras aktiviti penyeludupan barangan `transshipment' seperti beras dan gula.

Berita Harian X