Rabu, 4 Disember 2019 | 3:08pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

JAKIM iktiraf 78 badan pensijilan halal 45 negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengiktiraf 78 badan pensijilan halal dari 45 buah negara setakat 3 Disember lalu.

Pengiktirafan diberikan berasaskan kepada pematuhan dan pelaksanaan piawaian halal yang menepati ciri dan model Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata secara tidak langsung pengiktirafan itu menjadi mekanisme penyelarasan di peringkat antarabangsa.

Badan Pensijilan Halal negara terbabit perlu menerima standard dan piawaian Halal Malaysia.

"Mesyuarat Agung Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa (IHAB) pada 1 April lalu melantik Malaysia sebagai Pengerusi dan Setiausaha Agong IHAB bagi penggal 2019-2021," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah perancangan kerajaan untuk meningkatkan peranan JAKIM bagi menjaga kepentingan umat Islam dalam pensijilan halal produk makanan dan adakah kerajaan bersedia membantu mempromosi Kempen `Buy Muslim First' (BMF) yang disalah anggap sebagai gerakan memboikot produk kaum lain.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Gudang Eksibit Halal akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan mula dibina pada tahun depan.

Pembinaan gudang itu akan mengukuh dan memperkasa aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal kerana fasiliti ini akan menjadi pusat operasi pemantauan dan penguatkuasaan halal.

JAKIM juga akan memohon pembinaan Pusat Latihan Halal dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Halal dalam RMK-12.

"Pusat ini akan menjadi tempat menjalankan latihan untuk auditor halal, tenaga pengajar halal dan badan-badan pensijilan halal manakala Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Halal akan berfungsi menjalankan kajian berkaitan pengukuhan dan pemerkasaan pensijilan halal dan penggunaan teknologi dan inovasi dalam penghasilan produk halal," katanya.

Mengenai BMF, Fuziah berkata kerajaan sentiasa menjaga kepentingan pelbagai pihak dan kumpulan dalam negara ini dan sebarang usaha memboikot atau menidakkan hak dan peluang pihak lain tidak sepatutnya berlaku.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menggalakkan `Buy Malaysian First' yang mengutamakan produk dan perkhidmatan halal tempatan.

Penekanan adalah lebih kepada konsep `halalan toyyiban' yang diberi tumpuan dalam pensijilan halal meliputi semua aspek termasuk dari bahan ramuan, proses penyediaan, kesucian peralatan, kebersihan premis serta pengendalian yang mementingkan pematuhan Syariah, keselamatan, kualiti dan jaminan integriti sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Perlu diingat bahawa di sebalik industri halal yang dijalankan oleh usahawan bukan Islam terdapat ramai pekerja Muslim yang bergantung harap dan mencari rezeki dengan mereka. Sekiranya berlaku sesuatu pada syarikat terbabit ini dengan sendirinya menjejaskan pekerja terbabit.

"Selain itu, Mesyuarat Pasca Kabinet Agensi-agensi Agama bersetuju supaya agensi agama membantu mempromosi produk halal yang diusahakan oleh usahawan Muslim," katanya.

Menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai penyalahgunaan logo halal, Fuziah berkata, JAKIM sentiasa mengambil berat dan mengawal selia produk di pasaran dan premis berkaitan.

“Pemantauan ini dilakukan secara berkala untuk memastikan tidak berlaku penyalagunaan logo halal. Pengguna juga digalakkan memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa. Semakan boleh dibuat menerusi laman sesawang www.halal.gov.my atau aplikasi Smart Halal dan Verify Halal,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X