Rabu, 4 Disember 2019 | 6:33pm
Ridza Fathullah (tengah) bersama beberapa wakil NGO membuat laporan polis berhubung perhimpunan PKM di Ibu Pejabat Polis Klang Utara, di Klang, hari ini. - NSTP/Norrasyidah Arshad

NGO dakwa ada perhimpunan sokong PKM di Banting

KLANG: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa terdapat satu perhimpunan menyokong Parti Komunis Malaya (PKM) membabitkan 1,000 peserta diadakan di Banting, Sabtu lalu.

Wakil NGO terbabit, Pengerusi Tanjak Melayu Klang (TMK), Ridza Fathullah Abdul Rahim, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, perhimpunan berkenaan dijalankan pada 30 November lalu, sehari sebelum perhimpunan yang dijalankan di Kajang, Ahad lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan, perhimpunan berkenaan turut dihadiri menantu ahli PKM, Abdullah C D.

“Kami yakin perhimpunan itu juga turut dihadiri pemimpin politik tempatan. Berikutan itu, kami mendesak pihak berkuasa terutama polis menjalankan siasatan terhadap perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

Laporan berkenaan turut disertai ahli NGO Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang, dan Pertubuhan Anak Pulau Indah.

Ridza Fathullah berkata, pihaknya juga mendesak penganjur dan peserta perhimpunan PKM itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata, penganjuran berkaitan PKM itu memberi kesan tidak baik kepada negara, sama seperti pembabitan militan Daesh dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Kita mahu siasatan dijalankan terhadap semua penganjur dan peserta dan mungkin mereka ini memiliki risalah berkenaan PKM.

“Jika ia tidak dipantau, keamanan negara akan tergugat dan menyebabkan pergaduhan. Kita tidak mahu Melayu bangkit dan ini akan memberi kesan buruk,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan 300 individu terdiri daripada bekas anggota PKM hadir satu perhimpunan di Kajang pada Ahad lalu.

Isu komunis kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini selepas abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lalu.

Portal Malaysiakini melaporkan, abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand oleh sekumpulan individu, sebelum ditabur di laut berhampiran Lumut di Perak, dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Berita Harian X