Rabu, 4 Disember 2019 | 6:42pm
Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran. - Arkib NSTP
Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran. - Arkib NSTP

MMA dedah KKM tidak bincang pindaan Akta Racun 1952

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melahirkan kebimbangan ada pihak dalam Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai agenda tersembunyi di sebalik cadangan pindaan Akta Racun 1952 yang baru dibentangkan ke Parlimen untuk bacaan pertama, pada minggu lalu.

Presidennya, Dr N Ganabaskaran, juga mendedahkan KKM tidak pernah mengadakan perbincangan dengan pihaknya berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan yang antara lain bertujuan memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta pesakitnya.

“Kali terakhir MMA terbabit pada sesi pemegang taruh adalah untuk Rang Undang-Undang Farmasi (RUUF) di Port Dickson pada November 201, namun MMA tidak pernah diberikan konsultasi untuk pindaan RUU Akta Racun 1952.

“Justeru, MMA membantah dan melahirkan kerisauan ada agenda tersirat pihak berkepentingan untuk menyelitkan preskripsi mandatori dalam pindaan Akta Racun.

“Kenapa perlukan satu lagi klausa dalam akta untuk mengawal selia pengamal perubatan swasta, kenapa tidak gunakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (PHFSA) dan Akta Perubatan 1971 sedia ada. Pindaan RUU Akta Racun 1952 ini harus ditarik balik untuk sesi pemegang taruh sebelum dibentangkan semula,” katanya dalam satu kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Ganabaskaran berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kelmarin, bahawa KKM sedia mengkaji semula bentuk hukuman kepada pengamal perubatan dan ahli farmasi yang melanggar Akta Racun 1952 tetapi tidak akan menarik balik RUU pindaan akta berkenaan.

Dr Dzulkefly dipetik berkata, adalah salah dakwaan mengatakan pengamal perubatan atau ahli farmasi akan terus dikenakan hukuman termasuk penjara jika gagal mengeluarkan preskripsi atas permintaan pesakit.

Beliau berkata, sebelum preskripsi dikeluarkan, pesakit mesti terlebih dulu menjalani sesi konsultasi dengan pengamal perubatan berdaftar.

Berita Harian X