Khamis, 5 Disember 2019 | 11:16am
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Luqman Hakim Zubir

RUU Racun ditangguh ke sesi Dewan Rakyat akan datang

KUALA LUMPUR: Bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 yang dijadualkan di Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan ke sesi persidangan akan datang.

Permohonan itu dikemukakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Peraturan Mesyuarat 62.

RUU Racun (Pindaan) 2019 itu dijangka dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung Mac depan.

"Yang Dipertua, bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 62, saya memohon menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga D R 37/2019 RUU Racun (Pindaan) 2019.

"Seperti yang tertera dalam Aturan Mesyuarat No 1 pada hari ini dan dibawa ke mesyuarat akan datang," katanya.

RUU Racun (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 25 November lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.

Cadangan peruntukan baharu dalam pindaan itu bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan, sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di farmasi luar.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, cadangan itu sama sekali tidak menyekat pengamal perubatan berdaftar untuk membekalkan ubat kepada pesakit, jika mereka memilih untuk mengambil ubat di fasiliti perubatan itu seperti amalan semasa.

Bagaimanapun, pindaan itu mendapat reaksi negatif daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menyifatkan beberapa cadangan dalam RUU yang membolehkan doktor didenda dan dipenjara kerana menolak memberi preskripsi atas permintaan pesakit sebagai “tidak wajar”.

MAA juga berpendapat cadangan supaya pengamal perubatan berdaftar dan swasta mengeluarkan preskripsi elektronik secara dalam talian kepada pesakit adalah satu bentuk motivasi, namun ia juga boleh dilakukan secara komprehensif.

MMA bimbang tindakan secara pantas dan penambahan aplikasi yang berupaya menyediakan perundingan dan rawatan dalam talian ini akan membawa kepada persekitaran yang tidak sihat apabila pesakit tidak perlu berjumpa doktor, sebaliknya mereka dapat memilih ubat daripada menu berdasarkan simptom yang dialami.

Sementara itu, bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Dr Dzulkefly berkata, penangguhan RUU itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam sesi libat urus yang akan dilakukan kelak.

"Ia (penangguhan) dalam semangat bagi kembali membabitkan pelbagai pihak berkepentingan untuk saya dengari pandangan mereka supaya dapat bersama meletakkan dengan lebih baik.

"Justeru, saya akan panggil (sesi) libat urus semua ini dalam waktu akan dirancang kemudian, sejajar dengan saya sebutkan untuk sama-sama kita teliti perkara mereka bangkitkan," katanya.

Berita Harian X